Nord Stream: Mustahaknya Lakukan Siasatan Objektif, Adil

2023-02-24 16:14:20  CRI
Share with:

Atas permintaan Rusia, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan debat terbuka berhubung insiden kebocoran saluran paip gas Nord Stream, pada Selasa.

Pada ketika itu, pihak China menyatakan pendirian bahawa siasatan terhadap insiden berkenaan perlu dijalankan dengan objektif, tidak berat sebelah dan profesional.

Wakil China menggesa supaya siasatan digerakkan secepat mungkin untuk mengetahui punca sebenar berlakunya insiden kebocoran membabitkan Nord Stream 1 dan 2.

Rata-rata berpendapat bahawa kejadian itu merupakan perbuatan sabotaj yang disengajakan.

Denmark, Jerman dan Sweden turut melancarkan siasatan masing-masing. Namun lima bulan berlalu, mereka masih belum mengenal pasti punca kejadian dan pesalahnya.

Pada 8 Februari, seorang wartawan penyiasat dari Amerika Syarikat (AS), Seymour Hersh mendedahkan butiran terperinci mengenai kebocoran Nord Stream, dengan mengatakan ia operasi sulit yang dilaksanakan Agensi Perisikan Pusat (CIA) atas arahan Rumah Putih.

Berita itu turut menimbulkan kekecohan, menyaksikan semakin lantangnya gesaan masyarakat antarabangsa supaya siasatan yang objektif dan adil dilakukan.

Kejadian Nord Stream masih merupakan isu politik, yang berkait rapat dengan keselamatan dan kestabilan seluruh Eropah.

Lebih penting lagi, saat didepani lebih banyak bukti terperinci serta suara kesangsian yang semakin meningkat, satu siasatan yang tidak berat sebelah mesti dilaksanakan untuk mempertahankan keadilan antarabangsa.