China: ASEAN Masih Keutamaan dalam Diplomasi Negara Jiran

2023-02-24 13:19:27  CRI
Share with:

Kementerian Luar China pada Khamis memberitahu bahawa ASEAN masih menjadi keutamaan dalam diplomasi China dengan negara jiran.

 

Jurucakapnya, Wang Wenbin berkata, China juga menyokong penuh Indonesia untuk memainkan peranan negara pengerusi bergilir blok itu dan ia sejajar dengan kenyataan Menteri Luar China, Qin Gang ketika dalam rangka lawatan kerja di Indonesia baru-baru ini.

 

Beliau turut mengulas bahawa mempromosikan perkembangan selanjutnya hubungan China-ASEAN merupakan salah satu keutamaan lawatan Qin Gang ke Indonesia.

 

“Beliau (Qin) dan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno L. P. Marsudi bersama-sama mempengerusikan mesyuarat keempat mekanisme Jawatankuasa Kerjasama China-Indonesia, dan dalam sidang media kemudian, kedua-dua pihak bersuara bersama mengenai kemandirian ASEAN dalam segi strategi.

“Perang Dingin yang baharu dan persaingan antara kuasa besar sewajarnya dielakkan berlaku di rantau Asia-Pasifik, dan negara rantau ini juga perlu dielakkan memberat sepihak dengan paksa.

 

“Negara-negara ASEAN termasuk Indonesia diyakini akan membuat pertimbangan dan pilihan yang bebas berasaskan kepentingan asas kedamaian, kestabilan dan pembangunan serantau,” ujar Wang.

 

Beliau turut berkata bahawa China menyokong kemandirian ASEAN dalam bidang strategi, perpaduan dan swadaya, memelihara kedudukan utama ASEAN dan rangka rantau bersifat inklusif, dan menentang politik kumpulan dan pertentangan antara kem.

 

“Retno juga menyatakan Indonesia teguh komited kepada usaha mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau, selain berpendapat ASEAN tidak boleh menjadi ejen mana-mana kuasa luar dan terjatuh ke dalam kancah pertarungan kuasa besar.

 

“Indonesia akan memikul tanggungjawab selaku negara pengerusi bergilir dan memperkasakan kerjasama dengan China untuk menyokong pemulihan sejagat pasca wabak COVID-19,” tambah Wang.