Pilihan Tepat Selesai Krisis Ukraine secara Politik

2023-02-25 15:57:09  CRI
Share with:

China mengemukakan dokumen mengenai pendiriannya berhubung penyelesaian krisis Ukraine secara politik sempena genap setahun tercetusnya krisis Ukraine pada Jumaat.

Selain menjejaskan Rusia dan Ukraine, krisis berkenaan turut memberi impak kepada bekalan tenaga dan makanan, di samping mencetuskan lonjakan inflasi serta ancaman keselamatan nuklear bagi dunia.

Krisis Ukraine sekali lagi mengingatkan dunia bahawa tiada pemenang daripada konflik dan peperangan, sementara dialog dan perundingan merupakan jalan tunggal bagi menyelesaikan krisis.

Walaupun bukan pihak terlibat dalam krisis Ukraine, namun China tidak bersikap tunggu dan lihat. Presiden Xi Jinping telah mengemukakan saranannya yang dianggap menunjukkan hala tuju betul kepada penyelesaian krisis Ukraine secara politik. Dokumen pendirian yang disiarkan mutakhir ini pula menawarkan cadangan boleh laksana yang terperinci demi penyelesaian krisis.

Dengan merangkumi 12 aspek, dokumen itu menegaskan lagi bahawa kedaulatan pelbagai negara perlu dihormati, di samping memperincikan pendekatan bagi menyelesaikan krisis kemanusiaan.

Selain menyeru gencatan senjata dan rundingan damai disegerakan, China juga mengemukakan saranan berhubung pembangunan pasca perang.

Saranan berkenaan bukan sahaja mengambil berat terhadap keprihatinan pelbagai pihak, tetapi juga menjelaskan tanggungjawab mereka. Ia sekali gus mempamerkan pendirian negara ini yang bersandarkan prinsip keadilan.

Krisis Ukraine tercetus akibat pelbagai faktor yang rumit. Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang terus-menerus mengapi-apikan situasi, dianggap pencetus dan pendorong kepada krisis itu. Susulan itu, China dalam dokumen itu mengeyorkan supaya mentaliti Perang Dingin mesti ditolak, dan sekatan sepihak perlu dibatalkan.

Selain itu, China juga menyeru penubuhan koridor kemanusiaan bagi membolehkan orang awam berundur dari kawasan berkonflik.

Antara usaha-usaha yang turut disyorkan China termasuk melindungi rakyat jelata dan tahanan perang, memastikan kelancaran pengangkutan bahan makanan, menjamin kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan serta keselamatan kemudahan nuklear kegunaan awam.