Delegasi AIPU Melawat Syria

2023-02-27 11:31:45  CRI
Share with:

Delegasi Kesatuan antara Parlimen Arab (AIPU) yang terdiri daripada anggota Parlimen negara-negara Arab tiba di Damsyik, ibu negara Syria pada Sabtu lalu. Ini dilihat satu peristiwa penting dalam pemulihan hubungan antara negara Arab dengan Syria sejak Liga Arab menggantungkan keanggotaan Syria dalam blok itu pada tahun 2011.

Delegasi AIPU tersebut terdiri daripada wakil Iraq, Jordan, Libya, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Lubnan dan Palestin. Presiden Syria, Bashar al-Assad dan Speaker Dewan Rakyat Syria, Hammoudah Sabbagh masing-masing telah mengadakan pertemuan dengan delegasi itu.

Sebelum keberangkatan, Speaker Parlimen Iraq, Mohamed Al-Halbousi selaku ketua delegasi itu telah menyampaikan rasa simpati dan sokongan negara-negara Arab terhadap rakyat Syria yang mengalami bencana gempa bumi. Beliau turut menekankan negara Arab perlu mengambil tindakan bersama-sama yang melibatkan pelbagai bidang supaya menjadikan Syria kembali ke pangkuan dunia Arab dan selanjutnya memainkan peranannya dalam urusan serantau dan dunia.