China Kemuka Saranan Terhadap Pembangunan Hak Asasi Manusia Antarabangsa di PBB

2023-02-28 14:17:50  CRI
Share with:

BEIJING, 28 Feb. -- China menggunakan pentas mesyuarat peringkat tinggi sesi ke-52 Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyuarakan saranannya mengenai isu pembangunan hak asasi manusia antarabangsa pada Isnin.

Menteri Luar China, Qin Gang dalam ucapan secara maya menyatakan bahawa pembangunan hak asasi manusia antarabangsa menghadapi cabaran serius pada masa ini.

Justeru, beliau meminta agar semua pihak akur kepada empat perkara iaitu jalan pembangunan hak asasi manusia yang selaras dengan keadaan negara masing-masing, promosi dan perlindungan hak asasi manusia secara menyeluruh, kesaksamaan dan keadilan antarabangsa, serta dialog dan kerjasama.

“Kunci kepada pencapaian bersejarah China dalam hak asasi manusia adalah membuka jalan pembangunan hak asasi manusia yang menepati trend semasa dan bersesuaian dengan keadaan negara sendiri. China akan terus menempuh jalan ini.

“Ada pihak yang mempunyai motif tersembunyi terus menggembar-gemburkan isu Xinjiang dan Tibet untuk menyerang serta memburukkan imej China, serta menindas dan mengekang pembangunan China.

“Kami (China) menentang dengan tegas perkara-perkara tersebut,” kata Qin.

Tegas beliau, sejak pelaksanaan Undang-undang Keselamatan Negara di Hong Kong, wilayah pentadbiran khas China itu kini berada di fasa baharu dan mengecapi semula kemakmuran selepas melalui huru-hara.

“Kami akan melaksanakan dasar 'satu negara, dua sistem' dengan teguh, menyeluruh dan tepat, dengan tegas menjaga kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara, mengekalkan kemakmuran dan kestabilan Hong Kong,” ujar Qin.

Beliau turut menekankan bahawa pelepasan air tercemar oleh tragedi nuklear Fukushima ke laut berkaitan dengan keselamatan ekologi alam sekitar global dan hak kesihatan manusia di semua negara.

“Negara-negara terlibat harus mendesak Jepun agar melupuskan air tercemar nuklear secara terbuka, telus, saintifik dan selamat,” tambah Qin lagi.