Keji! Jepun Salah Urus Air Tercemar Nuklear
"Adakah 12 tahun cukup untuk menambat kembali kepercayaan rakyat yang telah hilang?"
Pertanyaan ini disuarakan laporan dari Fuji News Network berhubung keadaan 12 tahun selepas berlakunya bencana janakuasa nuklear Fukushima Daiichi.
Pelbagai fakta menunjukkan bahawa kerajaan Jepun bukan sahaja gagal mendapat semula kepercayaan dari khalayak ramai, sebaliknya bertindak semakin buruk dalam menjaga integritinya.
Pada 25 Februari, Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun, Nishimura Yasutoshi, mengadakan satu sesi taklimat di bandar Iwaki, Fukushima mengenai rancangan untuk melepaskan air tercemar dari Loji Janakuasa Elektrik Nuklear Fukushima ke laut.
Seperti apa yang pernah berlaku sebelum ini, pengusaha perikanan tempatan memilih keluar menyatakan bantahan tajam terhadap rancangan itu dan menyifatkan tindakan kerajaan Jepun yang melepaskan air tercemar ke laut tanpa persetujuan mereka sebagai "pengkhianatan".
Pada bulan April dua tahun lalu, rancangan kerajaan Jepun berhubung melepaskan air tercemar Fukushima ke laut bermula musim bunga 2023 pernah mengundang persoalan dan bantahan yang meluas dari dalam dan luar negara.
Pada Julai 2022, Jepun secara rasmi meluluskan rancangan untuk melepaskan air tercemar nuklear ke laut sebelum berakhirnya pemeriksaan dan penilaian anjuran kumpulan kerja teknikal Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Pada bulan Januari tahun ini pula, pihak Jepun secara sepihak mengumumkan keputusan yang akan melepaskan air yang tercemar ke laut "pada musim bunga dan musim panas tahun ini" sebelum ketibaan kumpulan kerja teknikal IAEA yang bertugas menjalankan pemeriksaan.
Modus operandi seumpama ini bukan sahaja menjejaskan kewibawaan pertubuhan antarabangsa terbabit, tetapi juga sama sekali mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat Jepun dan masyarakat antarabangsa.
Pemimpin pelbagai negara yang menghadiri sidang tidak rasmi pemimpin khas Forum Kepulauan Pasifik baru-baru ini, sekali lagi menyuarakan bantahan tajam terhadap rancangan Jepun untuk melepaskan air tercemar ke laut, yang dilihat bukan urusan yang hanya membabitkan Jepun sendiri, melainkan peristiwa penting yang akan menjejaskan persekitaran laut, ekosistem serta kesihatan rakyat semua negara termasuk negara-negara kepulauan di Pasifik Selatan.
Bagaimanapun, pihak Jepun tetap membuat keputusan ini tanpa berunding dengan negara-negara jirannya.
Hidup dan pembangunan berdasarkan laut adalah mustahak bagi semua negara.
Sebagai negara penandatangan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut, Jepun mempunyai tanggungjawab dan kewajipan untuk melindungi persekitaran laut.
Sejak 2013, kerajaan Jepun pernah mengemukakan lima cadangan tentang pelupusan air kumbahan, dan pada akhirnya memilih untuk melepaskannya ke laut hanya disebabkan pendekatan ini memerlukan kos terendah.
Jelaslah Jepun tidak pernah mempertimbangkan sama ada pendekatan ini melanggar undang-undang antarabangsa yang berkaitan, menjejaskan ekologi marin dan kesihatan umat manusia atau tidak.
Rancangan Jepun ini memperlihatkan sikap kerajaannya yang hanya mementingkan diri sendiri yang sudah mencapai satu paras yang melampau.
Sekiranya Jepun tetap degil melepaskan air tercemar ke laut, masyarakat antarabangsa patutlah mengambil tindakan bersama bagi memelihara kepentingan bersama di sisi undang-undang.
Bukan main kejinya, Jepun yang salah urus air tercemar nuklear dan semakin buruk dalam menjaga asas moral.