Pemulihan Ekonomi China Kondusif bagi Pertumbuhan Ekonomi Korea Selatan

2023-02-28 14:40:38  CRI
Share with:

Pemulihan ekonomi China yang cepat kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Korea Selatan khususnya dalam bidang pengeksportan dan pelancongan.

Menurut laporan Bank Pusat Korea Selatan semalam, ekonomi China cepat pulih selepas berkuatkuasanya dasar pencegahan dan kawalan wabak COVID-19 yang disusun semula. Pihaknya mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi China sepanjang tahun ini meningkat 2% berbanding tahun lepas, yang berkemungkinan menyumbang sebanyak 0.3% kepada pertumbuhan ekonomi Korea Selatan pada tahun ini.

Dimaklumkan, pemulihan ekonomi China dijangka kondusif bagi peningkatan pengeksportan Korea Selatan ke China melibatkan produk kimia, telefon bimbit pintar dan semikonduktor. Sementara itu, jumlah pelancong China yang memilih mengunjungi Korea Selatan akan bertambah pada Mac, dan dijangka akan menyuntik kedinamikan kepada sektor perkhidmatan tempatan.

Menurut data statistik berkenaan, pelancong China puratanya berbelanja sebanyak USD1,689 (RM7,576) di Korea Selatan pada 2019, lebih banyak daripada yang dibelanjakan pelancong dari Amerika Syarikat dan Jepun. Sejuta pelancong China dipercayai boleh menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara terbabit sebanyak 0.08% secara puratanya.