Pembangunan Berkualiti, Keutamaan Usaha Pemodenan China: Xi

2023-03-06 14:28:47  CRI
Share with:

Pembangunan berkualiti menjadi keutamaan dalam usaha membina negara sosialis moden secara menyeluruh.

Demikian ujar Presiden China, Xi Jinping ketika menghadiri sesi perbincangan bersama delegasi provinsi Jiangsu sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), di Beijing, pada Ahad.

Beliau menyatakan usaha harus dilakukan untuk menerapkan sepenuhnya konsep pembangunan baharu dalam semua aspek, dan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dari segi kualiti dan kuantiti.

Xi juga berkata bahawa China mesti memperdalam pembaharuan dan keterbukaan serta mengubah model pembangunan demi membentuk mekanisme mampan menyasar pembangunan berkualiti tinggi.

“Pembangunan berkualiti adalah untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan serta rasa bahagia dan selamat dalam kalangan rakyat," tambah beliau.

Xi turut menekankan tentang keperluan melipatgandakan usaha untuk mewujudkan kemandirian serta swadaya sains dan teknologi pada peringkat lebih tinggi dengan menyifatkannya sebagai jalan yang perlu dilalui China ke arah pembangunan berkualiti.

“Tatkala mendepani saingan sengit antarabangsa, kami (China) perlu meneroka sektor baharu dan memupuk momentum pertumbuhan baharu.

“Semua ini pada asasnya bergantung kepada inovasi sains dan teknologi,” ujar beliau.

Xi menegaskan, kemandirian dan pengukuhan diri dalam bidang sains dan teknologi merupakan kunci untuk membangunkan China sebagai negara sosialis moden seperti yang disasarkan.

Beliau menyeru supaya strategi pembangunan yang dipacu inovasi giat dilaksanakan dan kolaborasi antara industri, universiti dan institut penyelidikan terus diperkasa.

“Kami akan terus menyokong saintis menerajui projek penyelidikan rintis untuk mencapai kejayaan dalam bidang teknologi, di samping mewujudkan kemandirian dalam bidang-bidang utama,” katanya.