Modenisasi Ala China Berkongsi Peluang dengan Dunia

2023-03-06 13:23:37  CRI
Share with:


Usaha memacu modenisasi ala China menjadi topik yang menarik perhatian ramai dalam sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang sedang berlangsung.

Dalam laporan kerja kerajaan yang diserahkan kepada NPC untuk dibahaskan, turut diterangkan matlamat utama pembangunan negara pada tahun ini.

Pembangunan berkualiti tinggi merupakan salah satu keperluan asas untuk merealisasikan modenisasi ala China.

Dalam tempoh lima tahun lalu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China mencatatkan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 5.2 peratus.

Pada tahun lalu, meskipun mendepani impak teruk akibat faktor dalaman dan luaran, ekonomi China masih mempamerkan daya tahan kuat dan potensi besar dengan merekodkan kadar pertumbuhan tiga peratus.

Untuk tahun ini pula, China menyasarkan pertumbuhan KDNK pada kadar sekitar lima peratus dan matlamat itu berada pada julat yang munasabah serta selaras dengan jangkaan pasaran.

Menurut unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), pertumbuhan ekonomi global dijangka mencatat 2.9 peratus pada tahun ini, iaitu lebih rendah 0.5 mata peratusan berbanding tahun lepas.

Antara aspek lain yang digariskan sebagai kerja utama pembangunan ekonomi China tahun ini termasuk memperluas permintaan domestik, mempercepat pembinaan sistem perindustrian moden, memperkasa penarikan dan penggunaan modal asing, selain mencegah risiko ekonomi dan kewangan utama.

Usaha berkenaan bukan sahaja membantu memacu modenisasi ala China, malah menawarkan lebih banyak peluang kepada dunia.

Didorong oleh siri dasar dan insentif termasuk menambah pendapatan rakyat serta memantapkan perbelanjaan membabitkan barangan pukal dan perkhidmatan kehidupan, pasaran China akan terus menjadi pasaran dunia yang dikongsi semua.

Laporan kerja kerajaan itu juga menzahirkan komitmen China untuk memperkasa keterbukaan sektor perkhidmatan moden, melaksanakan dengan baik layanan nasional (NT) kepada syarikat asing, di samping memperluas keterbukaan secara keinstitusian.

Pendekatan berkenaan akan menyediakan ruang pembangunan yang lebih luas untuk pelaburan asing.