China Komited Sumbang Idea, Rungkai Cabaran Bersama

2023-03-07 15:18:39  CRI
Share with:


Dengan berpandukan‘head-of-state diplomacy’, China komited menjayakan dua aktiviti diplomasi utama tahun ini iaitu penganjuran Sidang Kemuncak China-Asia Tengah pertama dan Forum Jalur dan Laluan untuk Kerjasama Antarabangsa edisi ketiga.

Demikian kata Menteri Luar China, Qin Gang dalam satu taklimat media sempena sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) di Beijing hari ini.

Beliau turut mengulangi pendirian China menentang segala bentuk amalan hegemoni dan politik kuasa, menolak mentaliti Perang Dingin serta perlawanan sesama blok dan pembulian, di samping mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara.

“Bersandarkan perkongsian yang sedia terjalin, China akan terus memperkasa penyelarasan dan interaksi positif antara kuasa besar, mengembangkan kerjasama bersahabat dengan pelbagai negara dan mendorong pembinaan hubungan antarabangsa model baharu,” ujar Qin.

Tambah beliau, usaha diplomasi China juga menyasarkan untuk menyumbang kepada pembangunan berkualiti dan keterbukaan bertaraf tinggi.

Qin berkata China menentang amalan ‘mencantas hubungan’ dan sekatan sepihak, sambil berikrar untuk memelihara ekonomi dunia yang terbuka dan inklusif.

“Menerusi pendekatan multilateralisme, kami (China) akan berusaha mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan dan pendemokrasian hubungan antarabangsa.

"China juga komited menggalakkan tadbir urus global ke arah lebih adil dan munasabah, serta menyumbang lebih banyak idea dan cadangan demi merungkai cabaran yang didepani umat manusia,” katanya.