Penampilan Kaum Wanita di Sidang Tahunan NPC & CPPCC

2023-03-08 16:21:50  CRI
Share with:

Sidang tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang sedang berlangsung di Beijing menyaksikan kehadiran kaum wanita daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Ayuh ikuti kisah mereka sempena Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada hari ini.

Wakil NPC, Ran Hui merupakan ketua jawatankuasa kampung Tianshanbao di bandar Chongqing, barat daya China.

Selepas bertugas sembilan tahun lalu, beliau mengetuai penduduk kampung membina jalan raya baharu hingga berjaya menyelesaikan masalah pengangkutan yang merencatkan pembangunan ekonomi tempatan.

Tanah ladang ekologi turut dibina di kampung itu, secara tidak langsung membantu penduduk tempatan keluar daripada kemiskinan dan menarik ramai pemuda pulang untuk merintis keusahawanan.

Sejak dipilih sebagai wakil NPC pada 2018, Ran menjejakkan kaki ke setiap pelosok kampung untuk meninjau isu-isu seperti program penempatan semula dan pembangunan industri. Cadangan yang dikemukakannya dipandang serius oleh kementerian berkenaan dan diuruskan dengan teliti.

Beliau berkata bahawa adalah besar maknanya untuk menyepadukan usaha memperkukuh pencapaian pembasmian kemiskinan dan memacu pembangunan desa, dan ia juga merupakan fokus kerjanya.

Zhang Junping, anggota Jawatankuasa Kebangsaan CPPCC, sangat berdedikasi terhadap tadbir urus komuniti kediaman.

Kangcheng merupakan sebuah komuniti seluas kira-kira satu kilometer persegi di Shanghai dengan populasi hampir 36,000 penduduk selain mempunyai 286 bangunan, tiga sekolah serta empat pasar. Komuniti itu umpama sebuah 'bandar mikro'.

Sudah sepuluh tahun Zhang berkhidmat di Kangcheng yang merupakan komuniti terbesar di bandar raya Shanghai.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Zhang menubuhkan ruang awam pintar 'Shenzhihui' untuk mengumpulkan cadangan dan menggalakkan penyertaan penduduk dalam urusan awam.

Platform itu memudahkan penduduk membincangkan dan menyelesaikan perkara yang menjadi tumpuan mereka seperti pengurusan harta, pengasingan sampah, tempat letak kereta dan lain-lain.

Dengan pengalaman berkhidmat di peringkat akar umbi selama ini, Zhang dipilih sebagai anggota CPPCC tahun ini.

Sempena sidang tahunan CPPCC, beliau mengajukan syor dan cadangan berkaitan tadbir urus sosial dengan menekankan perlunya menghormati semangat rintis rakyat serta mengutamakan pembinaan mekanisme tadbir urus peringkat akar umbi dan pembangunan modal insan.