Konsep Pembangunan Berkualiti China di Mata Tokoh Asing

2023-03-08 13:17:34  CRI
Share with:

Usaha China ke arah membentuk paradigma pembangunan baharu dan memacu pembangunan berkualiti mendapat pujian serta penghargaan daripada tokoh asing pelbagai bidang.

Ahli ekonomi kanan dari Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD), Liang Guoyong berkata China mengalihkan tumpuan pertumbuhan ekonomi kepada pembangunan berkualiti, yang bakal memberi kesan positif kepada ekonomi dunia.

“Melihat kembali situasi sedekad lalu, boleh dikatakan bahawa ekonomi China sudah melalui transformasi daripada hanya mementingkan kuantiti sahaja kepada keseimbangan antara kualiti dan kuantiti.

“Dengan keterbukaan dan pembangunan China, ia bermakna negara lain boleh berkongsi faedah daripada kemajuan China serta memanfaatkannya bagi memacu pembangunan mereka sendiri,” kata beliau.

Liang turut berpendapat, inovasi dan pembangunan hijau China akan menggalakkan penaiktarafan teknologi dan transformasi hijau ekonomi global, dan juga kondusif dalam menghadapi cabaran sejagat seperti perubahan iklim.

Penasihat Presiden Senegal, Luc Sarr pula berkata bahawa dunia menaruh harapan tinggi terhadap China sebagai penggerak pertumbuhan ekonomi global.

“Kami sangat menantikan prestasi ekonomi China kerana pertumbuhannya akan membantu kami bertindak balas terhadap cabaran yang didepani ketika ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Tadbir Urus dan Kelestarian, Sekolah Perniagaan Universiti Kebangsaan Singapura (NUS), Lawrence Yeow-Khoon Loh berkeyakinan penuh terhadap prospek ekonomi China.

“Kami yakin dengan pertumbuhan mampan ekonomi China pada masa hadapan dan ia dapat dilihat apabila China kini sedang beralih kepada pelaburan lebih berkualiti, serta memfokuskan kepada pendigitalan dan pembangunan lestari.

“Ekonomi China sedang mengalami transformasi dan bakal mempunyai masa depan yang lebih cerah. Dari perspektif dunia, China sebuah kuasa ekonomi yang sangat penting,” tambah beliau.