China, ASEAN Komited Kekalkan Keamanan dan Kestabilan LCS

2023-03-15 13:11:14  CRI
Share with:

China dan negara-negara ASEAN komited mengukuhkan saluran dialog dan komunikasi, memperhalusi kerjasama saling untung, serta bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan (LCS).

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin semasa memberi maklumat tentang Mesyuarat ke-38 Kumpulan Kerja Bersama ASEAN-China mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (JWG-DOC) dalam sidang akhbar pada Selasa.

Untuk rekod, mesyuarat selama tiga hari itu melabuhkan tirainya dengan lancar di Jakarta, Indonesia pada 10 Mac.

“Semasa mesyuarat itu berlangsung, China dan negara-negara ASEAN terus mengadakan rundingan mengenai teks Kod Tatalaku (COC) di LCS dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelaksanaan DOC dan kerjasama praktikal maritim.

“Pelbagai pihak bersetuju untuk menjalankan pelbagai projek kerjasama praktikal dalam bidang yang melibatkan penyelidikan saintifik dan perlindungan alam sekitar marin serta operasi mencari dan menyelamat di laut,” kata Wang.

Tambah beliau, pelbagai pihak juga telah mencapai persetujuan berhubung rancangan kerja untuk tahun ini, termasuk mengadakan beberapa pusingan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN-China mengenai Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (SOM-DOC) dan mesyuarat JWG-DOC pada tahun ini bagi mendorong rundingan COC ke arah mencapai kemajuan lebih besar.