Isu Asia Barat: China, Pengantara Boleh Dipercayai

2023-03-16 14:31:14  CRI
Share with:

China sentiasa bertekad dan berdedikasi ke arah menyelesaikan isu panas menerusi pendekatan politik, dan menjadi pengantara yang boleh dipercayai dengan niat baik.

Pendirian itu dinyatakan jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin sebagai respons terhadap keterlibatan Beijing dalam penyelesaian isu Asia Barat.

Terdahulu, Arab Saudi dan Iran mengadakan perbincangan melalui usaha pengantaraan China di Beijing dan dua negara itu bersetuju untuk menyambung semula hubungan diplomatik.

Pada masa sama, duta China bagi isu Asia Barat, Zhai Jun berulang-alik antara Palestin dan Israel untuk memudahkan penyelesaian isu berkenaan.

Untuk itu, Wang menyatakan Asia Barat merupakan antara kawasan yang mempunyai lebih banyak isu panas di dunia.

Sebagai rakan baik negara Asia Barat, China tiada sebarang niat untuk mengaut kepentingan diri sendiri di kawasan itu, atau pun menubuhkan blok eksklusif.

“Kami (China) akan terus menunjukkan kebertanggungjawaban dalam menegakkan keadilan dan menyokong negara Asia Barat meneroka secara bebas cara penyelesaian isu panas yang sesuai dengan keadaan serantau.

“Kami juga berdiri di sisi negara berkenaan dalam memutuskan pendirian dasar mereka berdasarkan merit perkara itu sendiri,” ujar Wang semasa taklimat harian di Beijing, pada Rabu.