Lawatan Xi Bakal Suntik Momentum Baharu Hubungan China-Rusia

2023-03-17 17:09:55  CRI
Share with:

Lawatan Presiden China Xi Jinping ke Rusia bakal memperkasa koordinasi strategik dan kerjasama pragmatik antara kedua-dua negara, sekali gus menyuntik momentum baharu kepada hubungan bilateral, kata jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin.

Semasa taklimat media pada Jumaat, Wang berkata pemimpin kedua-dua negara akan bertukar-tukar pendapat secara mendalam mengenai hubungan bilateral serta isu-isu antarabangsa dan serantau yang menjadi perhatian bersama.

Beliau menyifatkan lawatan muhibah itu bakal mempertingkat lagi kesalingpercayaan dan persefahaman antara satu sama lain, di samping memperkukuh asas politik dan masyarakat kepada persahabatan sesama rakyat.

Lawatan itu juga akan memacu kerjasama saling untung dalam pelbagai bidang, dan memperkasa penyelarasan antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan gagasan Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

Tambah beliau, kedua-dua pihak komited mempraktikkan multilateralisme jitu berasaskan prinsip berkecuali, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasar pihak ketiga, mendorong pendemokrasian hubungan antarabangsa, mewujudkan dunia multipolar serta menambah baik tadbir urus global bagi menyumbang kepada kemajuan dunia.

Menyentuh isu Ukraine, Wang berkata China mengekalkan pendirian objektif dan adil dalam isu berkenaan, dan memainkan peranan konstruktif bagi menggalakkan rundingan damai.