Xi Kemuka Idea Baharu Pemodenan, Inisiatif Tamadun Global

2023-03-17 11:58:55  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) Xi Jinping mengemukakan idea baharu berhubung pemodenan dan Inisiatif Tamadun Global ketika menyampaikan ucaptama pada Dialog Peringkat Tinggi PKC dengan Parti Politik Dunia menerusi pautan video pada Rabu.

Selain memberi respons dengan lebih baik terhadap suara dan kemahuan rakyat, beliau berpendapat pemodenan bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan generasi kontemporari, malah turut menjamin hak dan kepentingan generasi akan datang serta memantapkan kelestarian masyarakat.

Xi juga menasihatkan kepada negara-negara yang mahu mencapai pemodenan agar mengejar kemajuan secara bersama melalui perpaduan dan kolaborasi, dengan mengikuti prinsip membangun bersama, berkongsi faedah dan menang-menang.

"Seseorang itu tidak akan bersinar apabila ia memadamkan pelita orang lain; dan juga tidak akan bergerak lebih jauh apabila ia menyekat laluan orang lain.

"Pemodenan China diwujudkan berpandukan keadaan semasa di negara sendiri sambil menimba pengalaman daripada negara lain; bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tempatan, tetapi juga memacu pembangunan bersama dunia.

“Kewujudan pemodenan dilihat sebagai satu-satunya jalan bagi China untuk mewujudkan kemajuan umat manusia dan persamaan dunia, " kata beliau.

Pada masa sama, Xi turut mengambil peluang pada acara itu untuk mengesyorkan Inisiatif Tamadun Global.

Untuk rekod, ia merupakan satu lagi produk awam antarabangsa ditawarkan China selepas Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.

Xi memberi penekanan tentang perlunya menghormati kepelbagaian tamadun dunia, menyemarakkan nilai bersama umat manusia, mementingkan pewarisan tamadun dan inovasi serta memperkasa interaksi dan kerjasama silang budaya.

“Pelbagai tamadun dunia wujud bersama secara inklusif, manakala usaha saling belajar antara peradaban amat penting untuk menggalakkan proses pemodenan masyarakat majmuk dan memperbagaikan tamadun dunia,” kata tambah beliau.