"Pembuatan Pintar China" Jadi Fokus CONEXPO-CON AGG

2023-03-20 14:39:10  CRI
Share with:

Pameran Jentera dan Peralatan Amerika Syarikat (AS), atau yang lebih dikenali sebagai CONEXPO-CON/AGG, melabuhkan tirainya di Las Vegas, pada Sabtu.

Berlangsung selama lima hari, CONEXPO-CON/AGG yang juga merupakan salah satu daripada tiga pameran jentera dan peralatan terbesar di dunia, dan ekspo perdagangan paling besar di Amerika Utara itu disertai lebih 2,500 syarikat dan pertubuhan dari puluhan negara dan kawasan.

Difahamkan, syarikat-syarikat peneraju dari industri pembuatan jentera dan peralatan sejagat membawa produk terbaharu serta sains dan teknologi canggih masing-masing.

Sebagai negara besar dalam industri pembuatan jentera dan peralatan di dunia, keunggulan daya saing produk China dalam bidang tersebut disaksikan oleh seluruh dunia.

Produk "pembuatan pintar China" yang dibawa oleh lebih 150 syarikat China, menjadi tumpuan dalam CONEXPO-CON/AGG edisi kali ini.

Di zon pameran peralatan lengkap, konsep inovatif seperti operasi pendigitalan, kawalan operasi di tapak pintar, dan operasi kawalan jauh yang berdasarkan teknologi seperti Internet kebendaan (IoT) berkelajuan tinggi, bantuan dron, dan pengimbasan seluruh sudut, telah dihasilkan oleh syarikat China dan menjadi peralatan lengkap dan produk nyata, serta mendapat sambutan baik daripada pengunjung.

Selain pembuatan peralatan lengkap, syarikat China juga mempunyai kelebihan dalam pembuatan komponen teras.

Pada CONEXPO-CON/AGG kali ini, terdapat zon pameran China dibina di ruang pameran komponen teras, dan produk-produk China di ruang tersebut turut mendapat sambutan yang baik daripada syarikat asing.

Syarikat China turut tidak melepaskan peluang dengan menggunakan ruang tersebut untuk mempamerkan kejayaan pembangunan berkualiti tinggi jentera dan peralatan China dalam beberapa tahun ini.