Hubungan China-Rusia 'Pergaulan Tepat Antara Negara'

2023-03-21 14:15:30  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping memulakan lawatan rasmi ke Rusia pada petang Isnin.     

Dalam ucapan tertulis yang disampaikan di Lapangan Terbang Vnukovo, Moscow, Xi menyatakan bahawa beliau menanti-nantikan pertukaran pendapat secara mendalam dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin tentang hubungan bilateral serta isu antarabangsa dan serantau yang menjadi tumpuan bersama agar menggaris pelan untuk koordinasi strategik dan kerjasama substantif kedua-dua negara pada fasa baharu.      

Melalui satu artikelnya yang diterbitkan di media Rusia pada masa lebih awal pada hari yang sama, Xi menunjukkan bahawa kunci penting bagi hubungan China-Rusia yang teruji dan kekal kukuh di sebalik perubahan landskap antarabangsa yang drastik dan cabaran yang kritikal adalah kedua-dua negara mendapat 'petua yang tepat ke arah pergaulan antara negara', selain menzahirkan harapan agar hubungan bilateral berkembang terus pada fasa berikutnya.

Menurut pandangan luaran, Rusia dijadikan negara pertama dalam agenda lawatan Xi selepas terpilihnya sebagai Presiden China sekali lagi mencerminkan keutamaan pihak China terhadap perkembangan Perkongsian Koordinasi Strategik Komprehensif China-Rusia pada era baharu. Hubungan kedua-dua negara yang kukuh kondusif bagi keselamatan dan kestabilan dunia.

Pada beberapa tahun kebelakangan ini,  pemimpin tertinggi negara China-Rusia mengekalkan komunikasi yang erat dan lawatan berkala antara satu sama lain. Berpandukan arahan strategik dari pemimpin tertinggi kedua-dua negara ini, China dan Rusia berjaya meningkatkan rasa saling percaya dalam bidang politik dan memperkasa kerjasama substantif. Di samping itu, penyelarasan kedua-dua pihak dalam usaha menangani isu antarabangsa juga terbukti berkesan.

Kedua-dua negara ini sama-sama menekankan semangat berinisiatif dan bebas dalam pelaksanaan dasar luar masing-masing, manakala mengekalkan hubungan bilateral berdasarkan prinsip tidak bersekutu, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga, dan memastikan kerjasama bilateral tidak terganggu pihak ketiga.

Hubungan China-Rusia yang saling menghormati, hidup bersama secara damai dan bekerjasama bagi mewujudkan pencapaian sama menang ini dilihat sebagai teladan dalam hubungan negara kuasa besar model baharu.   

Hubungan China-Rusia ditakrifkan sebagai pergaulan tepat antara negara kuasa besar dan amat bermakna bagi dunia yang berdepan dengan perubahan drastik pada ketika ini.

Presiden Xi pernah mengemukakan konsep berhubung pembentukan Komuniti Berkongsi Nasib Sesama Insan di arena antarabangsa semasa lawatan di Moscow pada sedekad lalu.

Selepas itu, pihak China juga mengemukakan Inisiatif Jalur dan Laluan, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tamadun Global secara berturut-turut yang disifatkan sebagai pakej penyelesaian China kepada dunia untuk menghadapi perubahan situasi semasa, zaman dan sejarah.

Lawatan Xi ke Rusia bagi tujuan persahabatan, kerjasama dan kedamaian kali ini dipercayai akan membuahkan hasil yang menggalakkan, bukan sahaja membawa momentum baharu untuk perkembangan hubungan bilateral yang sihat dan kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan dunia.