China Harap AS Bekerjasama Perbaiki Hubungan Bilateral

2023-03-26 14:36:44  CRI
Share with:

Menteri Luar China, Qin Gang mengadakan pertemuan dengan tokoh-tokoh dari pertubuhan dan kalangan industri dan perniagaan Amerika Syarikat (AS) secara berkumpulan di Beijing pada Sabtu.

Qin Gang yang juga ahli Dewan Negara terlebih dahulu mengalu-alukan lawatan tokoh-tokoh AS yang bersikap muhibah ke China pada musim bunga ini.

Qin menyifatkan hubungan China-AS sebagai hubungan dua hala yang paling penting di dunia.

“Dunia akan mendapat manfaat daripada hubungan China-AS yang baik; kalau hubungan itu tidak baik, dunia akan menderita akibatnya.

“China berpendirian konsisten dalam mengembangkan hubungan China-AS yang kukuh, stabil dan konstruktif, dan sentiasa menyokong kedua-dua pihak saling menghormati, hidup bersama secara damai, dan bekerjasama untuk mewujudkan pencapaian sama menang. Perkembangan hubungan bilateral yang baik memerlukan pihak AS bertindak sehaluan dengan China.

“China berharap AS mengelakkan diri daripada terperangkap dalam mentaliti 'campur tolak' (zero-sum), menghentikan tindakan membendung dan menindas China, sebaliknya bekerjasama dengan China untuk mengharungi kesukaran semasa dan membawa hubungan China-AS kembali ke landasan pembangunan yang kukuh dan mantap.

“Sektor korporat AS dialu-alukan untuk terus meningkatkan pelaburan dan menjalankan perniagaan di China, yang bersiap sedia terus menyediakan persekitaran perniagaan yang baik untuk perusahaan dari AS dan negara-negara lain,” kata Qin.

Para tetamu dari AS pula berkata bahawa mereka menyokong perkembangan hubungan AS-China yang sihat dan kekal stabil, selain komited untuk mencegah kedua-dua negara daripada terjerumus ke dalam keterasingan diplomatik antara satu sama lain, bahkan mencetuskan konflik.

Mereka mengalu-alukan kedua-dua negara meningkatkan komunikasi secara bersemuka, selain menzahirkan harapan agar meningkatkan kekerapan penerbangan antara kedua-dua negara untuk menggalakkan pertukaran pelbagai lapisan masyarakat, dan memperkasa kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.