DSAI Kongsi Pengalaman dengan Kaum Pemimpin Belia Asia

2023-03-27 14:45:49  CRI
Share with:


Ketika menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian Forum Pemimpin Belia Asia di Guangzhou, China melalui pautan video, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar bin Ibrahim (DSAI) menyatakan bahawa pada zaman beliau masih muda, mereka memberi lebih banyak tumpuan melawan kolonialisme dan imperialisme.

 

Menurut beliau, ia bukan hanya kerana kesombongan Barat dalam kuasa dan kawalan, tapi juga niat tersembunyi untuk mempengaruhi fikiran, fahaman dan tata nilai di dunia ini.

 

Ramai orang selalu diberitahu bahawa budaya Barat adalah maju dan kondusif bagi pembangunan negara lain, maka mereka perlu mengikuti Barat.

 

Tapi kini, ketika mengenang kembali sejarah dan sumbangan nenek moyang, kita menyedari bukan begitu.

 

Jelas DSAI, fahaman dunia terhadap China pada dahulunya dilihat menerusi “prism Barat”. Namun sekarang katanya, keadaan ini telah berubah dan dunia memahami bahawa tata nilai serta sejarah tidak boleh diimlakkan oleh kuasa besar Barat.

 

Kenyataan DSAI sememangnya sangat membantu kepada kaum belia, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain, khususnya kepada mereka yang bakal menjadi pemimpin di Asia.

 

Usaha Barat untuk mempengaruhi fikiran, fahaman dan tata nilai kita tidak pernah berubah, dari filem dan media yang sudah terkawal selama lebih seratus tahun, hinggalah ke Facebook, Twitter bahkan ChatGPT yang baru muncul.

 

Inilah punca Amerika Syarikat kini takut akan TikTok, sejenis media sosial yang sangat popular tapi ia tidak mampu mengawalnya.

 

Dunia telah menyaksikan jawapan CEO TikTok, Shou Zi Chew terhadap beberapa persoalan ketika sesi testimoni di Kongres Amerika selama lebih 4 jam, cukup dramatik.

 

Seorang Senator telah bertanya, “Adakah TikTok boleh melayari WiFi dalam rumah penduduk Amerika?”, dan Chew kelihatan terdiam beberapa saat serta menyatakan kurang faham apa maksudnya...

 

Sebagai satu aplikasi media sosial, ia tentu perlu sambungan dengan internet untuk menyediakan perkhidmatan kepada para pengguna.

 

Tapi ini menjadikan Tiktok itu berniat jahat?

 

Satria mahu bertanya, adakah terdapat aplikasi yang tidak mengumpulkan data peribadi? Adakah Facebook, Twitter, Instagram tidak mengumpulkan data dari para pengguna di seluruh dunia?

 

Cuma dulu data ini semuanya dihantar ke ibu pejabat syarikat-syarikat tersebut, di Amerika.

 

Sebenarnya pengumpulan data pengguna dilaksanakan oleh telefon pintar seperti iPhone pada bila-bila masa, sebelum sebarang aplikasi dimuatnaik. Ini juga adalah sebabnya Huawei dilarang oleh Amerika.

 

Faktanya, semakin banyak negara telah mengeluarkan kebimbangan terhadap keadaan tersebut dan meluluskan akta menuntut data pengguna di negara itu disimpan dalam pusat data tempatan.

 

TikTok pula beroperasi berdasarkan pendekatan ini dan menyimpan semua data pengguna Amerika di pusat data Oracle, syarikat teknologi Amerika.

 

Tapi ini jelas tidak membantu mengurangkan kebimbangan kerajaan Amerika terhadap sejenis aplikasi media sosial yang popular, khususnya isi kandungannya tidak mampu dikawal mereka.

 

Di TikTok, kita boleh melihat lebih ramai pengguna dari Asia memperkenal budaya dan kehidupan moden kita kepada dunia. Manakala lebih ramai pengguna Amerika pula memuat naik video yang mendedahkan rasa tidak puas hati terhadap kehidupan dan pentadbiran di negara itu.

 

Tetapi, kerajaan Amerika tidak boleh mencampuri operasi TikTok secara terus, sebab ia adalah sebuah syarikat China.

 

 Oleh itu, mereka mencari alasan dari sudut yang lain. Seorang Senator mendakwa TikTok menyebarkan video yang kurang sihat di Amerika, seperti dadah.

 

Ketika membela diri terhadap dakwaan tersebut, Chew mengambil tanah airnya iaitu Singapura sebagai contoh bahawa TikTok di negaranya jarang kelihatan kandungan berkaitan dadah, sebab Singapura ada undang-undang keras untuk membanteras dadah.

 

Video seumpama ini juga tidak kelihatan di China. Penjenayah berkaitan dadah boleh dihukum mati di China, maka siapa yang berani menyebarkan video mengenai dadah di media sosial di negara ini?

 

Tapi di Amerika, ganja pun telah boleh dijual secara sah.

 

Boleh dikatakan isi kandungan media sosial hanya cerminan dari kehidupan tempatan saja.

 

Walaupun seluruh dunia mengiktiraf jawapan Chew cukup meyakinkan, tapi ramai orang memahami ini pembicaraan yang sudah ada keputusannya sebelum ia dimulakan lagi. Sebab ia telah menjadi gangguan bagi Amerika untuk terus mempengaruhi fikiran, fahaman dan tata nilai dunia, khususnya bagi kaum belia.