BFA 2023: China Teguh Perluas Keterbukaan

2023-03-28 12:32:50  CRI
Share with:

Sidang tahunan 2023 Forum Asia Boao (BFA) dijadual diadakan di provinsi Hainan, China selama empat hari bermula 28 Mac.

Bertemakan 'An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development amid Challenges', agenda sidang itu mencerminkan aspirasi bersama masyarakat antarabangsa demi mewujudkan kedamaian, kerjasama dan pembangunan.

Ia turut memberikan mesej kepada dunia bahawa China mengekalkan komitmen teguh untuk memperluas keterbukaan.

Difahamkan, sidang tahunan BFA kali ini akan dihadiri kira-kira 2,000 peserta dari lebih 50 buah negara dan wilayah dengan pengisian acara termasuk forum, mesyuarat meja bulat dan taklimat media.

Antara topik yang dijangka menjadi fokus perbincangan adalah termasuk kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), modenisasi ala China, kerjasama rantau Asia, prospek ekonomi dan geopolitik global.

Sidang tahunan BFA kali ini sekali lagi menekankan peri pentingnya keterbukaan.

Selepas mengatasi impak pandemik COVID-19, China terus berusaha memantapkan lagi keterbukaan menerusi pelbagai pendekatan termasuk melonggarkan dasar berhubung aktiviti pelancongan rentas sempadan, menyambung semula urusan visa untuk warga asing dan berusaha merancakkan pertukaran antarabangsa.

China menyasarkan pertumbuhan ekonomi pada kadar kira-kira lima peratus tahun ini waima berdepan cabaran daripada kelembapan ekonomi global.

Di samping itu, China komited memperkasa keterbukaan pintu menerusi tindakan sebenar dan bersedia berkongsi manfaat pertumbuhan ekonomi dengan rakan-rakan di dunia.