China Bersedia Menyumbang kepada Kedamaian, Kestabilan dan Pembangunan Asia Barat: Xi

2023-03-28 15:11:28  CRI
Share with:

China bersedia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk membina komuniti berkongsi nasib China-Arab pada era baharu, dan menyumbang kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan di Asia Barat, kata Presiden China, Xi Jinping ketika berhubung dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud, menerusi telefon pada Selasa.

Xi mengambil peluang menzahirkan mogaan baik kepada Raja Salman sempena bulan Ramadan.

Beliau menyatakan bahawa hubungan China-Arab Saudi kini berada dalam tempoh terbaik dalam sejarah. China bersedia bekerjasama dengan Arab Saudi untuk melaksanakan hasil  siri sidang kemuncak China dengan negara Arab pada Disember lalu, dan terus saling menyokong dalam isu berkaitan kepentingan teras masing-masing.

Di samping itu, menurut Xi, kedua-dua negara juga harus memperluas kerjasama praktikal dan pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat, memperkasakan perkongsian strategik komprehensif China-Arab Saudi, mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib China-Arab Saudi pada era baharu, dan memberikan lebih banyak sumbangan kepada kedamaian, kestabilan dan pembangunan di rantau Asia Barat.

Xi menegaskan bahawa dialog antara Arab Saudi dan Iran di Beijing mencapai hasil yang memberangsangkan. Ia membantu membaiki hubungan kedua-dua negara, sekali gus membawa makna signifikan demi mempergiat perpaduan dan kerjasama negara di rantau Asia Barat dan meredakan ketegangan serantau, serta mendapat respons baik masyarakat antarabangsa.

Putera Mohammed menyampaikan mogaan baik dari Raja Salman kepada Presiden Xi, dan sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Xi atas pelantikan semula sebagai Presiden China.

Beliau mewakili pihak Arab Saudi menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada China yang menyokong pembaikan hubungannya dengan Iran. 

Putera Mohammed menyatakan, Arab Saudi menghargai peranan China yang semakin penting dan membina dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa. China ialah rakan kongsi penting Arab Saudi. Pihaknya mementingkan hubungan dengan China, dan bersedia bekerjasama dengan China untuk membuka prospek baharu kerjasama antara kedua-dua negara.