BFA Jana Peluang Baharu kepada Negara ASEAN
Sidang tahunan Forum Boao untuk Asia (BFA) akan menyediakan peluang dan pendekatan baharu bagi pembangunan negara ASEAN, kata duta China.
Duta China ke ASEAN, Hou Yanqi menyifatkan penganjuran acara tahunan itu sebagai tepat pada waktunya kerana ia selaras dengan keadaan semasa serta aspirasi negara terbabit.
“Di sebalik wabak COVID-19 dan situasi dunia yang tidak menentu, ekonomi China dan ASEAN kekal berkembang pesat dalam tempoh tiga tahun lalu.
“BFA tahun ini bakal mencipta lebih banyak peluang dan ruang kerjasama bagi memantapkan lagi aktiviti perdagangan dan ekonomi antara China dengan negara ASEAN,” kata beliau.
Hou berkata China dan negara ASEAN melaksanakan sepenuhnya perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), di samping menggerakkan rundingan berhubung penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA).
“Integrasi ekonomi serantau merupakan trend yang tidak dapat dielakkan dan ia akan membawa manfaat kepada semua negara terlibat.
“Saya berharap China dan ASEAN dapat mengumpul lebih banyak cadangan dan pandangan berhubung peluang kolaborasi menerusi perbincangan mendalam pada forum berkenaan,” tambah beliau.
Bertemakan ‘An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development amid Challenges’, BFA 2023 dijadual berlangsung di Boao, Hainan bermula 28 hingga 31 Mac.