Peserta BFA Seru Perkukuh Perpaduan dan Kerjasama
Para peserta Forum Boao untuk Asia (BFA) sebulat suara menyeru supaya semua negara bersatu padu serta berkongsi nasib demi menyumbang kepada kemakmuran Asia dan dunia.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) adalah cerminan semangat solidariti dan kolaborasi.
“Bagi menterjemahkan cita-cita tinggi kepada realiti praktikal, perpaduan dan kerjasama merupakan contoh terbaik dalam usaha merealisasikan BRI.
“Dengan pandemik kian reda, semua pihak harus berusaha mendapatkan semula momentum kukuh kerjasama berkenaan,” katanya ketika berucap pada sidang tahunan BFA 2023, di Hainan pada Khamis.
Beliau turut merayu agar negara-negara terlibat terus bekerjasama, seia sekata dan berkongsi idea berhubung pelaksanaan pelbagai strategi dan dasar ke arah membina Asia yang lebih kuat serta berdaya tahan.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pula berkata bahawa sama ada Asia dapat merealisasikan visinya bergantung kepada sejauh mana negara-negara di benua itu mengekalkan hubungan yang mantap serta kerjasama yang praktikal dan produktif dalam kalangan mereka sendiri selain rakan kongsi dari luar.
“Selaku ekonomi amat penting di Asia, China berperanan besar dalam semua perkara ini. Kami (Singapura) mengalu-alukan komitmen China untuk terus membuka ekonomi dan menyokong multilateralisme dan kerjasama serantau.
“Kami mengharapkan semua pihak menyumbang secara lebih aktif kepada pembangunan dan kemakmuran serantau dan global, sehingga memberi manfaat kepada Asia dan dunia,” kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut memuji usaha China untuk memperkukuh interaksi diplomatik dan hubungan dengan negara lain, dan menyifatkannya memaparkan kebertanggungjawaban negara Tembok Besar.