Hubungan China-Singapura Ditingkatkan ke Tahap Baharu

2023-03-31 22:50:40  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Dewan Besar Rakyat, Beijing petang tadi.

Xi Jinping berkata, China dan Singapura ialah rakan kerjasama yang penting. Hubungan kedua-dua negara yang prospektif, strategik dan demonstratif, bukan sahaja mendorong pembangunan dalam negeri masing-masing, malah juga menjadi teladan kepada negara-negara serantau.

Beliau menyatakan bahawa China meletakkan hubungan dengan Singapura sebagai keutamaan dalam hubungan dengan negara-negara jiran.

Sempena lawatan Perdana Menteri Lee Hsien Loong kali ini, China dan Singapura meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian berorientasikan masa depan seluruh aspek dan bermutu tinggi, menetapkan hala tuju bagi perkembangan hubungan kedua-dua negara pada masa depan.

Beliau berkata, Singapura ialah negara Asia Tenggara yang terlibat paling mendalam dalam pembaharuan dan keterbukaan China, dan mempunyai kepentingan bersama yang paling rapat dengan negara ini.

"China sedang mempergiat usaha untuk mewujudkan kebangkitan gemilang nusa dan bangsa melalui modenisasi ala China. China bersedia berkongsi peluang dengan negara-negara yang ingin menjalankan kerjasama dengan negara ini, termasuk Singapura.

"China bersedia bekerjasama dengan pihak Singapura, terus menggunakan platform mesyuarat mekanisme kerjasama dua hala, mempergiat pembinaan Koridor Perdagangan Darat dan Laut Antarabangsa Baharu, mengintensifkan kerjasama dalam pembangunan digital dan hijau serta kerjasama pihak ketiga, di samping menggalakkan pertukaran lawatan individu,” ujar Xi.

Lee Hsien Loong dalam pertemuan itu menyatakan bahawa beliau berkeyakinan penuh terhadap daya tahan ekonomi China, dan percaya ekonomi China akan mengekalkan momentum pertumbuhan yang kuat.

Beliau berkata, Singapura dan negara-negara jiran menanti-nantikan untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan China.

"Singapuara berharap dapat mengambil peluang rundingan kenaiktarafan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan China, untuk mengeluarkan isyarat jelas kepada dunia bahawa China akan memperkasakan keterbukaan dan Singapura akan meningkatkan kerjasama dengan China,” kata Lee.

Beliau berharap lawatannya kali ini dapat menyuntik kedinamikan baharu kepada hubungan dua hala dan menggalakkan kerjasama kedua-dua negara membuahkan lebih banyak hasil pada masa akan datang.