Lihat Jelas Siapa Penghasut, Jangan Jadi Boneka: MFA
Negara serantau diingatkan supaya melihat dengan jelas siapakah mengapi-apikan ketegangan di Selat Taiwan serta apakah niat sebenar di sebalik tindakannya.
Peringatan itu diberikan jurucakap Kementerian Luar (MFA) China Mao Ning, susulan tindakan Filipina memberi akses kepada tentera Amerika Syarikat (AS) menerusi pembukaan empat lagi pangkalan.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan Filipina Carlito Galvez Jr berkata penambahan pangkalan tentera dilakukan di bawah Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkatkan (EDCA).
Beliau mendakwa kehadiran tentera AS akan membantu Filipina meningkatkan lagi keupayaan untuk melindungi kepentingan negara dan menyumbang kepada pertahanan kolektif rantau ini, selain bertujuan untuk menjaga laluan perdagangan di Laut China Selatan.
Mengenai lokasi pangkalan berkenaan, dilaporkan terdapat tiga yang menghadap Selat Taiwan dan satu lagi yang menghadap Laut China Selatan.
Untuk itu, Mao membalas dengan mengatakan tidak pernah ada sebarang isu berkaitan kebebasan pelayaran dan keselamatan di Laut China Selatan.
“China dan negara-negara ASEAN komited untuk melaksanakan sepenuhnya Deklarasi Tatalaku (DoC) Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan dan mempercepat perundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) berkenaan.
“Kita mempunyai kemahuan dan keupayaan untuk menjaga keamanan dan kestabilan di perairan itu, menolak campur tangan yang tidak diingini dari luar rantau,” kata beliau semasa taklimat harian di Beijing pada Khamis.
Ketika mengulas mengenai kenyataan bahawa Filipina dibimbangi akan terjerumus dalam konflik yang berlaku di Selat Taiwan, Mao menegaskan bahawa isu Taiwan merupakan urusan dalaman China dan penyelesaiannya juga adalah urusan orang China sendiri.
“Bukanlah pihak China yang menyebabkan situasi rentas selat semakin tegang, sebaliknya puak pemisah ‘kemerdekaan Taiwan’ dan sesetengah negara yang menyokong cubaan mereka,” ujar beliau.
Mao turut menasihati negara berkenaan supaya benar-benar tahu siapa si penghasut dan jangan menjadi boneka mereka.