Hubungan China-Perancis Penuh Potensi

2023-04-09 15:27:18  CRI
Share with:


Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Jumaat berkongsi lawatannya ke China menerusi hantaran di media sosial yang ditulis menggunakan bahasa Cina, Inggeris dan Perancis. Dalam pada itu, beliau menyifatkan hubungan kedua-dua pihak sebagai amat berpotensi.

Dalam lawatan itu, Macron telah bertemu dengan Presiden Xi Jinping di Beijing dan Guangzhou untuk bertukar-tukar pendapat secara mendalam sehingga menentukan hala tuju kerjasama di peringkat bilateral dan antarabangsa.

China dan Perancis mempunyai pendirian yang sama dalam banyak aspek termasuk mengamalkan diplomasi yang bebas, serta menjunjung multilateralisme dan perdagangan bebas. Hal ini turut menyumbang kepada perkembangan hubungan yang mantap antara kedua-dua negara. Seperti yang dinyatakan Presiden Xi bahawa kemantapan menjadi antara ciri menonjol dan aset yang tidak ternilai harganya dalam hubungan China-Perancis.

Pertemuan antara pemimpin dua negara menyaksikan tercapainya banyak konsensus penting termasuk menyambung semula mekanisme dialog yang melibatkan strategi, ekonomi dan kewangan serta interaksi sosiobudaya.

Selain itu, lawatan Macron juga menyaksikan 18 perjanjian kerjasama ditandatangani 36 buah perusahaan China dan Perancis.

Di samping itu, menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan kedua-dua negara, Perancis berjanji terus menguruskan permohonan lesen syarikat China dalam bidang ekonomi digital termasuk teknologi 5G secara adil dan tanpa diskriminasi.

Menurut pandangan The New York Times, walaupun Amerika Syarikat (AS) berharap Eropah mengenakan sekatan terhadap syarikat China dalam bidang sains dan teknologi, namun ternyata Presiden Macron enggan berbuat demikian.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen yang juga mengadakan lawatan ke China baru-baru ini turut menyatakan pihaknya tidak bersetuju dengan amalan ‘mencantas hubungan’ dan berharap memperkasa perhubungan dengan China.

China dan Perancis bakal menyambut ulang tahun ke-60 penjalinan hubungan diplomatik pada tahun depan. Diterajui pemimpin kedua-dua negara, hubungan bilateral ini diyakini akan berkembang dengan mantap, sekali gus menyuntik momentum baharu kepada hubungan China-Eropah.