RCEP akan Pacu Pembangunan dan Kemakmuran Sejagat
Filipina akan menguatkuasakan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mulai 2 Jun, menurut maklumat oleh Kementerian Perdagangan China pada Rabu.
Ia sekali gus akan menjadikan RCEP dikuatkuasakan di kesemua 15 negara anggota, selain terus menggalakkan kawasan perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia itu ke fasa pelaksanaan secara menyeluruh.
Untuk rekod, China merupakan rakan dagang terbesar, negara sumber import terbesar dan pasaran eksport ketiga terbesar bagi Filipina.
Selepas penguatkuasaan RCEP di Filipina, perdagangan kargo seperti komponen dan kenderaan, sebahagian produk plastik, tekstil dan pakaian, alat penyaman udara, serta mesin basuh dari China akan dikecualikan tarif import di negara itu.
Dalam bidang perkhidmatan dan pelaburan pula, Filipina komited membuka pasaran kepada lebih 100 agensi perkhidmatan termasuk pengangkutan laut dan udara, selain memberikan komitmen akses yang lebih jelas kepada pedagang asing dalam bidang komersial, telekomunikasi, penjualan, kewangan, pertanian dan pembuatan.
Ketika ini, perdagangan China dengan anggota RCEP meliputi 30.8 peratus jumlah perdagangan luar China.
Justeru, penguatkuasaan RCEP secara menyeluruh adalah kondusif bagi meningkatkan skala perdagangan dan pelaburan antara China dengan anggota RCEP, memenuhi permintaan penggunaan domestik China yang kian meningkat, memperkukuh rantaian perindustrian dan pembekalan serantau, malah menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan ekonomi sejagat.
Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn turut menyifatkan RCEP sebagai perjanjian perdagangan bebas terbesar di dunia.
"ASEAN sedang berusaha untuk memperkasa lagi pembentukan pasaran serantau termasuk memudahkan pelepasan barang di kastam, menyelaraskan piawaian teknik, di samping meningkatkan kestabilan rantaian perindustrian dan pembekalan,” ujar beliau.