Perdagangan Luar China Penuh Kedinamikan
Data rasmi dari Jabatan Pentadbiran Am Kastam China pada Khamis menunjukkan, keseluruhan eksport kenderaan elektrik, bateri litium dan sel solar meningkat sebanyak 66.9% pada suku pertama 2023, yang menyumbang sebanyak 2 mata peratusan kepada kadar pertumbuhan eksport di negara ini.
Dalam tempoh yang sama, jumlah import dan eksport perdagangan barangan China mencatat RMB9.89 trilion (RM6.33 trilion), naik 4.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala jumlah perusahaan perdagangan luar China yang berprestasi dalam import dan eksport mencapai 457,000 buah, meningkat 5.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ini turut menunjukkan bahawa perdagangan luar China berjaya menempuhi ujian, memperlihatkan kestabilan dan daya tahan yang kuat pada fasa permulaan tahun ini, dan turut meletakkan asas untuk mengekalkan kestabilan dan meningkatkan kualiti dalam perdagangan luar sepanjang tahun.
Pada akhir Mac, Bank Dunia mengeluarkan laporan situasi ekonomi di Asia Timur dan rantau Pasifik dan menaikkan unjuran kadar pertumbuhan ekonomi China untuk 2023 kepada 5.1 peratus, jauh lebih tinggi daripada unjuran 4.3 peratus seperti yang dibuat pada Januari. Pemulihan ekonomi China yang mampan akan terus merangsang permintaan terhadap produk import dan menggalakkan eksport.
Pada masa yang sama, usaha China yang berikrar meningkatkan tahap keterbukaan memberikan sokongan yang kuat kepada perdagangan luar. Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Jalan(BRI). Pada suku pertama tahun ini, kadar pertumbuhan import dan eksport China ke negara-negara yang terlibat dalam pelaksanaan BRI lebih tinggi 12 mata peratusan daripada keseluruhan.
Sebaik saja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berkuatkuasa secara rasmi di Filipina pada 2 Jun nanti, kita dapat menyaksikan penguatkuasaan sepenuhnya perjanjian itu di 15 negara anggota. Ini akan memperluaskan lagi pasaran dan menggalakkan pertukaran perdagangan.
Selain itu, penguatkuasaan langkah-langkah pengurusan China tentang kunjungan individu antara negara bermula 8 Januari lalu juga dilihat membantu memperkasa perkembangan perdagangan luar.
Ekspo Produk Pengguna Antarabangsa China edisi ketiga yang sedang berlangsung di Hainan telah menarik penglibatan pembeli dari 35 negara dan kawasan.
Di samping itu, sektor korporat China juga bertindak dengan aktif, terbukti dengan bertambahnya lebih 25,000 buah syarikat yang menceburkan diri dalam bidang perdagangan import dan eksport pada suku pertama tahun ini berbanding dengan tempoh sama tahun lepas.
Pameran Ekspo Import dan Eksport China atau 'Canton Fair' edisi ke-133 akan membuka tirai di Guangzhou pada 15 April nanti, setelah terputus edisi fizikalnya dalam tempoh penularan COVID-19.
Canton Fair ke-133 dijangka akan menjadi yang berskala terbesar dalam sejarah silamnya, menyaksikan penglibatan hampir 35,000 buah syarikat pempamer secara fizikal. Keghairahan peserta terhadap Canton Fair mencerminkan kedinamikan perdagangan luar di negara ini.