China, Brazil Meneroka Masa Depan Bersama

2023-04-16 14:40:34  CRI
Share with:

Tahun ini adalah ulang tahun ke-30 perkongsian strategik China-Brazil dan kedua-dua pihak akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada tahun depan.

Pada masa yang penting ini, lawatan rasmi Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva ke China dari 12 hingga 15 April lalu tturut menjadi salah satu tumpuan masyarakat antarabangsa. Melihat dari hasil perbincangan antara pemimpin China dan Brazil serta kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, boleh dikatakan bahawa Lula melakar kejayaan dalam lawatannya ke China kali ini. Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa China bersedia bersama Brazil meneroka masa depan hubungan bilateral pada era baharu. Manakala, Presiden Lula berkata, memperkukuh hubungan dengan China merupakan aspirasi bersama jabatan perundangan dan pelbagai lapisan masyarakat negaranya.

Dalam rundingan pada Jumaat, Presiden Xi menegaskan peri pentingnya rasa saling percaya dalam bidang politik dan komunikasi strategik antara China dengan Brazil, dan Presiden Lula pula menzahirkan harapan agar hubungan Brazil-China dapat melibatkan lebih banyak bidang, selain sektor perdagangan. Pemimpin kedua-dua negara sama-sama melihat hubungan dua hala dari segi strategik. Ini menunjukkan bahawa rasa saling percaya dalam bidang politik antara kedua-dua pihak telah diperkasa pada tahap yang baharu dan dasar hubungan China-Brazil pada era baharu akan menjadi lebih kukuh.

Ketika menerima wawancara sebelum dan selepas lawatannya ke China, Lula memberi penghargaan tinggi terhadap modenisasi ala China. Beliau berkata Brazil kini sedang berusaha untuk meneroka "laluan ke arah pemodenan Brazil."

Pihak China pula menyatakan kesediaan untuk membincangkan kaedah bagi meningkatkan penyelarasan dalam pelaksanaan strategi pembinaan "Inisiatif Jalur dan Laluan" anjuran China dengan "Perindustrian Semula" anjuran Brazil, dan kedua-dua pihak telah menandatangani sejumlah dokumen kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, inovasi sains dan teknologi dan lain-lain. Ini bermakna China dan Brazil sedang meningkatkan usaha dalam meneroka ruang kerjasama dua hala yang lebih luas.

Di samping itu, China dan Brazil sentiasa memperkasa kolaborasi strategik mengenai isu-isu global yang menjadi perhatian bersama dalam mekanisme Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, BRICS dan G20.

Dalam perbincangan antara pemimpin kedua-dua negara tentang krisis Ukraine, China dan Brazil bersepakat bahawa dialog dan rundingan merupakan satu-satunya penyelesaian, dan semua usaha yang berfaedah bagi penyelesaian secara damai perlu digalakkan dan disokong. Ini dianggap sebagai seruan China-Brazil untuk keamanan yang berharga.

Dengan berpandukan arahan pemimpin kedua-dua negara, hubungan China-Brazil dipercayai akan mencapai tahap yang lebih tinggi pada era baharu, dan membawa lebih banyak kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua negara, malah menyuntik kedinamikan baharu ke dalam kerjasama China-Amerika Latin serta keamanan dan pembangunan dunia.

Inilah sebabnya mengapa Presiden Lula dengan tegas menyatakan: "Sesiapa pun tidak dapat menghalang Brazil daripada terus mengembangkan hubungan dengan China."