G7 Diseru Junjung Prinsip Satu China

2023-04-18 14:39:58  CRI
Share with:

Hanyalah satu China di dunia, dan Taiwan ialah sebahagian wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari China.

Kerajaan Republik Rakyat China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh China. Inilah inti pati prinsip satu China dan juga kunci untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di kawasan Selat Taiwan.

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin pada sidang media di Beijing pada 17 April.

Menurut laporan, Persidangan Menteri-menteri Luar Kumpulan 7 (G7) yang diadakan di Jepun mutakhir ini telah menzahirkan bantahan terhadap percubaan unilateral China untuk mengubah status di Selat Taiwan melalui tindakan kekerasan, di samping menegaskan pentingnya keamanan dan kestabilan di kawasan berkenaan.

Mengulas laporan tersebut, Wang menyatakan negara-negara yang berkaitan harus sedar bahawa soal Taiwan adalah urusan dalaman China yang tidak boleh dicampuri negara luar.

"Walaupun Tanah Besar dan Taiwan masih belum disatukan semula, namun kedua-duanya adalah satu China, dan Taiwan ialah sebahagian wilayah China.

"Kedaulatan negara dan keutuhan wilayah China tidak pernah dipecahbelahkan. Inilah keadaan sebenar di kawasan Selat Taiwan," ujar Wang.

Beliau menegaskan bahawa pengembalian Taiwan ke China adalah sebahagian penting dalam orde antarabangsa pasca Perang. Menjunjung prinsip satu China adalah memelihara orde antarabangsa selepas Perang.

"Jika pihak-pihak berkaitan benar-benar mengambil berat terhadap situasi di Selat Taiwan, mereka harus mengetahui puncanya ketegangan di kawasan itu terlebih dahulu" kata Wang.