Momentum Dividen Tenaga Profesional China Kian Kuat

2023-04-20 13:07:20  CRI
Share with:

Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) mengeluarkan Laporan Keadaan Penduduk Dunia 2023 pada Rabu, meramalkan bahawa India akan mengatasi China menjadi negara paling ramai penduduk di dunia menjelang pertengahan tahun ini.

Ini adalah akibat pengembangan populasi. Namun media Barat menggunakan isu populasi untuk memfitnah China.

Apabila Amerika Syarikat (AS) memperhebat langkah membendung pembangunan China dan mendakwa mencantaskan hubungan dengan China, mereka menemui topik baharu daripada laporan PBB tersebut.

Mereka sengaja mengabaikan kelebihan model dan jalan pembangunan China sebagai sebab pencapaian pembangunan yang hebat, hanya menyamakan jumlah penduduk dengan pencapaian pembangunannya, dan memujuk syarikat asing berundur dari negara ini demi menyekat momentum pembangunan China.

Gembar-gembur sedemikian tidak mempunyai pemahaman asas tentang kaedah pengembangan populasi. Jumlah penduduk adalah bahagian penting dalam pembangunan sesebuah negara, namun sama ada ia boleh benar-benar bertukar menjadi pertumbuhan ekonomi bergantung kepada reka bentuk sistem dan pelaksanaan dasar negara.

Pada masa ini, China telah memasuki fasa pembangunan berkualiti tinggi, dan pembangunan yang dipacu inovasi antara kunci utama untuk pembangunan kelak.

Dalam jangka panjang, adalah trend yang tidak dapat dielakkan bagi China untuk mengalihkan tumpuan ke peringkat tinggi dalam rantaian pembekalan dan perindustian dunia.

Untuk menilai prospek pembangunan China, kita tidak seharusnya hanya menumpukan pada petunjuk tunggal jumlah populasi, tetapi juga mementingkan kualiti pertumbuhan ekonomi. Pada suku pertama tahun ini, pertumbuhan ekonomi China yang merekodkan 4.5% pun dapat membuktikan kenyataan ini.

Begitu juga, apabila melihat dividen demografik China, kita perlu mempertimbangkan jumlah kuantiti, tetapi yang lebih penting ialah kualiti. Berbanding populasi, tenaga profesional harus diberikan keutamaan. "Dividen demografik" China tidak hilang, "dividen tenaga profesional " sedang terbentuk, dan momentum pembangunannya masih kukuh.