CMG Anjur Festival Video Bahasa Cina ke-3 di UNOG

2023-04-21 13:40:25  CRI
Share with:

Festival Video Bahasa Cina edisi ketiga Kumpulan Media China (CMG) diadakan dengan jayanya di Palais des Nations di sini, pada Khamis serentak dengan Hari Bahasa Cina Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2023.

Di Pejabat PBB di Geneva (UNOG), program khas terbitan CMG untuk Hari Bahasa Cina PBB turut dilancarkan menerusi platform media digital UNOG, dengan jadual tayangan selama dua minggu.

Tahun ini juga menandakan genap sedekad Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) diperkenalkan Presiden China, Xi Jinping.

Acara yang mentafsirkan konotasi BRI menerusi rakaman video itu menerima sebanyak 939 buah karya video dihasilkan peminat bahasa Cina dari 37 negara dan wilayah, termasuk Britain, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Serbia dan Rusia.

Ketua Pengarah UNOG Tatiana Valovaya dalam ucapannya menerusi program khas itu menyatakan bahawa bahasa Cina menjadi simbol budaya China yang gemilang dan mencerminkan semangat kental rakyat China。

Menurut beliau, ‘Journey’yang ditetapkan sebagai tema festival tahun ini sinonim dan berakar umbi dalam budaya China serta bahasanya.

"Sejarah dan warisan budaya di sebalik bahasa Cina akan dibangkitkan ketika kami meneliti proses perkembangan bahasa itu," kata Valovaya.

Wakil tetap China ke UNOG, Chen Xu turut memuji Hari Bahasa Cina PBB yang berlangsung saban tahun telah menjadi festival penting bagi peminat bahasa Cina sejagat.

"Program khas berkenaan menyampaikan makna serasi dengan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang diajukan Presiden Xi pada Mac lalu.

"Ia menyasar untuk mempertingkat pertukaran dan interaksi silang budaya serta persefahaman sesama rakyat," kata beliau.