Xi Temu Pegawai Kanan CPV

2023-04-27 12:34:58  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) yang juga Presiden China, Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV), Truong Thi Mai di Beijing pada Rabu.

Xi menyatakan China dan Vietnam perlu memperkukuh kesalingpercayaan politik, meningkatkan perpaduan dan kolaborasi, menangani perselisihan dengan baik, sambil bersinergi menghadapi pelbagai risiko dan cabaran.

Kedua-dua pihak hendaklah terus menggalakkan pembinaan komuniti berkongsi nasib yang menyumbang kepada keamanan dan kemajuan umat manusia, katanya.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-15 terjalinnya perkongsian kerjasama strategik komprehensif China-Vietnam.

Xi menekankan perlunya kedua-dua negara menambah baik penyelarasan strategi pembangunan dan pemadanan projek berkenaan, mendorong kesalinghubungan infrastruktur dan pertukaran kalangan rakyat, dan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai persahabatan tradisional bagi memperkukuh sokongan masyarakat kepada pembangunan hubungan bilateral buat jangka panjang.

Dalam pada itu, Truong Thi Mai menyatakan Vietnam sentiasa memprioritikan kerjasama muhibah dengan China, menjunjung prinsip satu China dan menyokong teguh usaha penyatuan semula China.

Beliau turut menzahirkan kesediaan Vietnam untuk bersama China merapatkan interaksi peringkat tinggi sesama parti, di samping memperkasa penyelarasan antara pelan 'Dua Koridor Satu Lingkaran' dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).