Jangan Biar Okinawa Terjerumus ke Kancah Perang

2023-04-27 15:43:54  CRI
Share with:

Beberapa pelabuhan dan jalan di Okinawa dibanjiri anggota Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) pada awal pagi Rabu susulan keputusan kerajaan Jepun untuk menempatkan peluru berpandu Patriot-3 di situ.

Media tempatan mencela perbuatan kerajaan yang terus-menerus mengembangkan aset tentera sebagai membelakangi Perlembagaan Damai, sekali gus membawa ancaman kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

Mutakhir ini, perwakilan ahli parlimen Okinawa menyerahkan dokumen resolusi kepada Kementerian Pertahanan, Pejabat Kabinet dan Kementerian Luar Negeri sebagai mempersoalkan 'tiga dokumen keselamatan' versi baharu yang dilulus pada hujung tahun lepas.

Resolusi itu menuntut kerajaan mematuhi prinsip-prinsip yang ditetapkan dalam empat dokumen politik China-Jepun, menggalakkan persahabatan antara kedua-dua negara, dan secara aktif membina keamanan menerusi dialog dan pendekatan diplomatik.

Tiga dokumen keselamatan baharu yang diluluskan kerajaan Jepun pada Disember tahun lalu semuanya menyebut keperluan mengukuhkan kekuatan JSDF yang ditempatkan di Okinawa, serta memperluas skop penggunaan lapangan terbang dan pelabuhan tempatan oleh JSDF.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, landskap politik dunia telah mengalami perubahan yang mendalam.

Kuasa sayap kanan Jepun percaya bahawa mereka telah menemui peluang untuk memecahkan Perlembagaan Damai dan menghidupkan semula militarisme, susulan Amerika Syarikat (AS) salah mendefinisikan China sebagai 'pesaing paling utama' dan campur tangan berterusan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dalam urusan Asia Pasifik.

Mereka menggembar-gemburkan 'teori ancaman China', meningkatkan perbelanjaan pertahanan dengan ketara, membangunkan senjata berbahaya dan berusaha memperoleh keupayaan untuk menyerang musuh, dengan niat mengubah order antarabangsa pasca Perang Dunia II.

Penganalisis turut mengkritik tindakan kerajaan Jepun seumpama bertentangan dengan Perlembagaan Damai, menyebabkan dasar pertahanan bersifat defensif yang diamalkan negara itu hanya tinggal di atas kertas.

Menerusi resolusi tersebut, Parlimen tempatan melahirkan rasa tidak puas hati dan kebimbangan mereka mengenai peluasan ketenteraan kerajaan Jepun, serta aspirasi mereka terhadap persahabatan China-Jepun dan keamanan serantau.

Penduduk Okinawa mahukan keamanan, bukannya peluru berpandu. Kerajaan Jepun perlulah mendengar suara hati mereka dengan teliti.