Pelajar Malaysia di Beijing Diraikan dalam Sambutan Aidilfitri

2023-04-30 21:20:45  CRI
Share with:

Lebih 150 orang pelajar Malaysia yang menyambut Aidilfitri di Beijing diraikan dalam Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri anjuran Persatuan Pelajar Malaysia di Beijing (AMSIB) pada Sabtu.

Majlis yang disokong oleh Pejabat Education Malaysia Beijing (EM Beijing) itu dimeriahkan dengan menampilkan pelbagai masakan menu Malaysia.

Lebih menarik, menurut Pengarah EM Beijing, Muhammad Sallehuddin Mohd Dilif, masakan tersebut disediakan oleh air tangan pelajar sendiri secara gotong royong dari pelbagai universiti.

Antara universiti yang terlibat termasuklah Beijing Jiaotong Technology University (BJTU), Beijing Language and Culture University (BLCU), Beijing Foreign Studies University (BFSU), University of International Business and Economic, Peking University dan Tsinghua University dan beberapa universiti di Beijing yang lain.