Dunia Diseru Sokong Penyelesaian Isu Myanmar Melalui Dialog Politik

2023-05-02 12:05:18  CRI
Share with:

Masyarakat antarabangsa diseru menghormati kedaulatan Myanmar, dan menyokong semua pihak di Myanmar meleraikan perselisihan serta meneruskan proses peralihan politik melalui dialog politik di bawah kerangka perlembagaan dan undang-undang.

Demikian kata Menteri Luar China, Qin Gang ketika ditemui utusan khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi isu Myanmar, Noeleen Heyzer di sini, pada Isnin.

Beliau yang juga ahli Dewan Negara memberitahu bahawa selaku jiran, China berharap Myanmar dapat mewujudkan kestabilan dan pembangunan.

“Dengan unsur dalaman dan luaran yang saling berkaitan, isu Myanmar menjadi amat rumit dan tidak mempunyai penyelesaian segera.

“Masyarakat antarabangsa harus menghormati usaha pengantaraan ASEAN dan menggalakkan pelaksanaan ‘konsensus lima perkara’ mengenai Myanmar,” kata Qin.

Beliau juga menekankan peri pentingnya untuk bertindak secara berhati-hati dan pragmatik bagi mencegah percanggahan bertambah buruk sehingga mewujudkan limpahan krisis.

“China akan terus menyokong dan membantu misi pengantara utusan khas Myanmar,” tambah Qin.

Heyzer dalam ucapannya pula berkata bahawa usaha menyelesaikan isu Myanmar harus diterajui Myanmar sendiri, dan aspirasi rakyat negaranya harus dihormati.

“PBB menghargai peranan penting China dalam mendorong penyelesaian isu Myanmar serta berharap China terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan pembangunan Myanmar,” kata duta khas itu.