Nepal Mahu Bina Komuniti Sanitasi, Kesihatan Sesama Insan dengan China

2023-05-03 14:01:49  CRI
Share with:

Perdana Menteri Nepal, Pushpa Kamal Dahal atau Prachanda menyatakan harapan untuk mahu membina bersama Komuniti Sanitasi dan Kesihatan Sesama Insan dengan China.

Beliau kata demikian dalam Majlis Penyerahan Projek Penaiktarafan dan Pengubahsuaian Hospital Perkhidmatan Awam Nepal dengan bantuan China di Kathmandu, Nepal pada Jumaat lalu.

Prachanda turut menzahirkan penghargaan terhadap China atas bantuan China kepada Nepal dalam bidang perubatan, ekonomi dan perdagangan, serta kebudayaan.

“Nepal menghargai visi membina bersama Komuniti Sanitasi dan Kesihatan Sesama Insan yang dicadangkan Presiden China, Xi Jinping, dan kami berharap mengukuhkan kerjasama dengan China untuk merealisasikan visi ini,” kata beliau.

Menteri Hal Ehwal Persekutuan dan Pentadbiran Am Nepal, Aman Lal Modi turut senada dan berharap untuk dapat meneruskan kerjasama dengan China pada masa depan.

Duta Besar China ke Nepal, Chen Song pula menyifatkan China dan Nepal sebagai negara jiran yang mempunyai sejarah persahabatan lama dan bekerjasama rapat dalam bidang kesihatan awam.

“Kami (China) berharap kerjasama yang mesra dan substantif antara China dan Nepal benar-benar membawa kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua pihak,” katanya.

Untuk rekod, Hospital Perkhidmatan Awam Nepal yang dibina dengan bantuan China telah siap dibina dan dibuka kepada orang ramai pada September 2008.

Genap sepuluh tahun berikutnya, projek penaiktarafan hospital itu pula dilancarkan secara rasmi.

Setelah melalui pembinaan sekitar lima tahun, hospital tersebut berubah menjadi hospital bandar serba lengkap model baharu dengan zon fungsi aturan yang relevan, selain mempunyai pemandangan persekitaran yang indah, serta menyediakan rawatan dengan cekap kepada pesakit tempatan.

Pada majlis tersebut, tetamu kehormat bersama-sama melancarkan aktiviti Minggu Perkhidmatan Perubatan Percuma Pasukan Perubatan China di Daerah Kathmandu dan mengadakan majlis penyampaian Pingat Kehormatan Kesihatan Kebangsaan Nepal kepada anggota skuad perubatan China kumpulan ke-14 atas sumbangan cemerlang mereka di Nepal.