Platform Selatan-Selatan Rancakkan Aktiviti Dagangan: UNCTAD

2023-05-09 13:28:02  CRI
Share with:

Negara-negara membangun komited bersinergi menangani cabaran sejagat menerusi platform perdagangan Selatan-Selatan, menurut seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pegawai kanan dari Persidangan PBB mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), Taisuke Ito berkata kerjasama perdagangan antara negara membangun akan terus dipergiat selepas perjanjian Global System of Trade Preferences Among Developing Countries (GSTP) berkuat kuasa secara rasmi.

"Mutakhir ini, Brazil telah meratifikasikan GSTP. Perjanjian ini akan dikuatkuasakan apabila ia mendapatkan pengesahan daripada satu lagi anggotanya," kata beliau semasa Forum Perdagangan PBB edisi ketiga yang dirasmikan di Geneva, pada Isnin.

Diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, GSTP mempunyai 42 anggota yang mewakili pasaran bernilai AS$16 trilion (RM71 trilion) serta 20 peratus pengimportan barangan sejagat.

Taisuke Ito berkata komitmen untuk mengurangkan tarif sesama anggota akan dilaksanakan sebaik perjanjian berkenaan berkuat kuasa secara rasmi, sekali gus merancakkan lagi aktiviti perdagangan.

"Contohnya, sesetengah negara Amerika Latin antara pengeluar bahan makanan utama, manakala negara seperti India memerlukan makanan diimport.

"Sekiranya tarif dipotong di antara mereka, ia akan membantu mengatasi krisis makanan semasa," tambah pegawai itu.

Menurut beliau, negara-negara membangun menyedari pentingnya GSTP selaku alat yang berguna untuk mengatasi pelbagai cabaran global.

Justeru, platform perdagangan Selatan-Selatan seperti GSTP akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan menangani perubahan iklim.