Prestasi Eksport China Kekal Cemerlang

2023-05-10 13:39:28  CRI
Share with:

Prestasi perdagangan China mengekalkan momentum kenaikan pada April dengan nilai eksport melonjak 16.8 peratus kepada 2.02 trilion yuan (RM1.3 trilion) berbanding April 2022.

Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) menyifatkan prestasi itu sebagai sangat cemerlang dan melangkaui jangkaan selepas meraih pertumbuhan yang kukuh pada Mac.

Memetik laporan agensi berita Associated Press (AP), eksport China meneruskan momentum kukuh di luar jangkaan tatkala senario permintaan global masih lemah.

Mengikut data terkini GACC, pertumbuhan dagangan luar China bagi tempoh Januari hingga April dipacu terutama oleh kenaikan eksport kenderaan dengan kadar sebanyak 120.3 peratus.

Selain itu, prestasi sektor swasta terus cemerlang, yang menyumbang 52.9 peratus kepada jumlah import dan eksport dalam tempoh sama, sementara aktiviti perdagangan antara China dengan pasaran baru muncul turut dilihat semakin rancak.

Dalam pada itu, import dan eksport menyasar ASEAN dan negara-negara terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) masing-masing naik 13.9 peratus dan 16 peratus.

Sejak April, siri langkah diperkenalkan kerajaan China untuk memantapkan perdagangan antaranya termasuk memulihkan sepenuhnya acara pameran fizikal, menawarkan sesi pemadanan (matchmaking) kepada pengeluar automobil dan pemain industri logistik, dan memperluas saluran penjualan melalui platform e-dagang rentas sempadan.