China Bantah Keras Kanada Sabotaj Hubungan Dua Hala

2023-05-10 14:22:22  CRI
Share with:

China mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kanada yang melanggar norma asas hubungan antarabangsa, dan dengan sengaja mensabotaj hubungan China-Kanada.

Demikian dinyatakan oleh jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam sidang media pada Selasa.

Beliau berkata, Kanada tidak mempedulikan representasi serius China dan secara terang-terangan mengisytiharkan seorang diplomat China sebagai "persona non grata" atas alasan "campur tangan dalam hal ehwal dalaman Kanada".

Wang Wenbin menegaskan bahawa beberapa media dan ahli politik dari Kanada memetik apa yang dipanggil "dokumen rahsia" Perkhidmatan Perisikan Keselamatan Kanada untuk mengada-adakan maklumat palsu bagi menghitamkan kedutaan dan konsulat China di Kanada.

"Tuduhan itu tidak berasas dan direka dengan motif tersembunyi," ujar Wang.

Beliau menegaskan bahawa China tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain. Kedutaan dan konsulat China serta diplomatnya di Kanada mematuhi konvensyen antarabangsa yang berkaitan dan undang-undang Kanada.

"Kami menggesa pihak Kanada untuk segera menghentikan provokasi yang tidak munasabah. Jika pihak Kanada tidak mendengar nasihat dan bertindak melulu, China akan mengambil tindakan balas yang sewajarnya. Semua akibat mesti ditanggung oleh pihak Kanada."