Siapakah Pelaku 'Paksaan Ekonomi'?

2023-05-15 14:30:19  CRI
Share with:

Baru-baru ini, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet Yellen mendakwa perlunya tindakan terselaras antara anggota Kumpulan Tujuh (G7) untuk melawan apa yang disebut 'paksaan ekonomi' China.

Ketika menyebut 'paksaan' dalam hubungan antarabangsa, ia sebenarnya dicipta dan dipraktikkan oleh AS sejak sekian lama.

Inti patinya adalah memaksa negara lain membuat perubahan mengikut tuntutan AS menerusi ancaman kekerasan, pengasingan politik serta sekatan ekonomi dan teknologi demi mengekalkan status hegemoni AS secara maksimum.

'Paksaan ekonomi' merupakan sebahagian daripada 'diplomasi paksaan' yang diamalkan AS.

Seperti yang ditunjukkan penganalisis, AS ingin mendapatkan 'cip' dalam kerjasama ekonomi, perdagangan dan kewangan serta rundingan berkenaan dengan China, sambil memaksa China membuat konsesi atas tuduhan palsu.

Mutakhir ini, media AS terus-menerus meniup angin dengan mendakwa Washington akan mengumumkan sekatan pelaburan yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Beijing sempena sidang kemuncak G7 tahun ini.

Sekatan berkenaan kononnya membabitkan bidang teknologi tinggi seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan lain-lain.

Sekiranya maklumat itu adalah benar, ia akan menjadi satu lagi bukti yang mencerminkan niat AS melakukan paksaan ekonomi terhadap China dan membendung pembangunannya.

Padahal, sekatan teknologi adalah modus operandi yang selalu dimainkan AS untuk mengenakan paksaan ekonomi terhadap negara lain.

Sementara itu, sekatan unilateral juga merupakan satu bentuk paksaan ekonomi yang digunakan AS secara sewenang-wenangnya.

AS telah mereka-reka pelbagai alasan untuk menindas perusahaan teknologi tinggi China, dengan memasukkan lebih 1,000 syarikat dalam senarai sekatannya.

Rakan sekutu AS termasuk sesetengah anggota G7, juga tidak terkecuali daripada menjadi mangsa paksaan ekonomi.

Sidang kemuncak G7 akan bermula tidak lama lagi. Sekiranya AS membangkitkan isu menangani paksaan ekonomi dalam sidang berkenaan, negara-negara terbabit patut memikirkan apa yang dilakukan AS ke atas mereka, dan janganlah menjadi pengkomplot.