20 Juta Tan Kargo Diangkut Melalui Rel China-Laos

2023-05-17 15:25:52  CRI
Share with:

Jumlah kumulatif kargo yang diangkut melalui perkhidmatan kereta api China-Laos mencecah 20 juta tan sejak landasan itu mula beroperasi pada 3 Disember 2021, menurut China Railway Kunming Group Co.,Ltd.

Antaranya, jumlah pengangkutan kargo rentas sempadan melebihi 4 juta tan setakat 16 Mei dengan nilai keseluruhannya sebanyak 17.7 bilion yuan (RM11.44 bilion).

Pada Januari hingga April tahun ini, tren berkenaan mengendalikan penghantaran kargo sejumlah 6.69 juta tan iaitu meningkat 4.08 juta tan atau 156 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kategori kargo turut bertambah kepada lebih 2,000 jenis berbanding hanya kira-kira 10 jenis pada mula-mulanya.

Difahamkan, hantaran kargo dari China ke Laos antaranya termasuk peralatan dan kelengkapan, perkakas rumah, sayur-sayuran, bunga segar dan alat ganti jentera; manakala untuk laluan sebaliknya pula merangkumi produk seperti bijih logam, ubi kayu dan barli.

Setakat ini, sebanyak 25 buah provinsi dan bandar di China menawarkan perkhidmatan kargo menerusi landasan berkenaan sekali gus memberi sokongan kukuh untuk mengekalkan kestabilan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan serantau.