Perlunya Sinergi Semua Pihak ke Arah Selesai Krisis Ukraine

2023-05-19 13:00:04  CRI
Share with:

Mutakhir ini, wakil khas kerajaan China bagi urusan Eurasia, Li Hui mengadakan pertemuan dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy dan pegawai kanan lain negara itu untuk bertukar-tukar pandangan mengenai penyelesaian krisis Ukraine melalui saluran politik dan hubungan China-Ukraine.

Jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin memaklumkan, kedua-dua pihak sependapat bahawa perbincangan antara Presiden China Xi Jinping dengan Zelenskyy menerusi panggilan telefon pada hujung bulan lalu menggariskan hala tuju pembangunan hubungan China-Ukraine.

"Kedua-dua negara perlu menyemarakkan tradisi saling menghormati dan melayan satu sama lain secara ikhlas, sekali gus memantapkan kolaborasi yang saling menguntungkan," kata beliau semasa taklimat media pada Khamis.

Dalam pertemuan di Kiev, Li Hui menghuraikan pendirian dan saranan China mengenai penyelesaian krisis Ukraine menerusi saluran politik.

Wang berkata, tiada ubat mujarab untuk meredakan krisis berkenaan. Semua pihak perlu bersinergi dalam usaha memupuk kepercayaan dan mencipta syarat bagi mencapai gencatan senjata dan menggalakkan rundingan damai.

Beliau turut mengulangi kesediaan China untuk menggalakkan masyarakat antarabangsa mencari titik persamaan sebanyak mungkin demi penyelesaian krisis Ukraine, serta menyumbang kepada tercapainya gencatan senjata dan pemulihan keamanan seawal mungkin.

Tambah beliau, China sentiasa memainkan peranan konstruktif dalam meredakan situasi kemanusiaan di Ukraine dengan kaedah sendiri dan akan terus menyalurkan bantuan semampu yang boleh kepada negara itu.