Kembara Duta: Sokongan Perkembangan Bahasa Melayu di China Terus Dipergiat

2023-05-20 19:11:24  CRI
Share with:

Jejak kembara Duta Besar Malaysia ke Republik Rakyat China, Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin dalam usaha menyokong perkembangan dan pemerkasaan bahasa Melayu di negara China diteruskan dengan menyaksikan pertemuan beliau dengan Timbalan Presiden Sichuan International Studies University (SISU) Zhu Chaowei di Chongqing, pada Khamis.

Dalam pertemuan tersebut, beliau menyerahkan sumbangan sebanyak 33 buah buku bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kepada Timbalan Presiden SISU yang antaranya mengandungi buku-buku tatabahasa, koleksi novel dan karya-karya sasterawan negara kepada universiti tersebut yang telah menubuhkan Jabatan Bahasa Melayu sejak tahun 2020.

Sesi interaksi yang dijalankan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar berjalan dengan lancar, seterusnya menjadi manifestasi tanda sokongan berterusan kerajaan Malaysia kepada pembelajaran bahasa Melayu di China yang kian berkembang.

“Pemberian sumbangan buku-buku bahasa Melayu ini dilaksanakan tepat pada masanya, kerana SISU memang sedang memperbanyakkan sumber-sumber bacaan dan pembelajaran bahasa Melayu di kampus.

“SISU percaya bahawa bahasa adalah jambatan budaya, dan pembelajaran bahasa Melayu di China akan mengeratkan interaksi budaya dan perpaduan antara negara China dengan Malaysia,” kata Timbalan Presiden SISU.

Duta Besar Malaysia turut menyentuh bahawa tahun 2024 merupakan tahun penting buat Malaysia dan China, yang akan memahatkan sejarah sambutan ulang tahun ke-50 penjalinan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Sedemikian, beliau menzahirkan harapan agar bahasa Melayu akan terus berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat dan bahasa berwibawa yang berpengaruh di seluruh dunia amnya dan di China khususnya, di samping memainkan peranan yang semakin penting dalam mempertingkat hubungan persahabatan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.

Beliau juga berharap agar graduan-graduan pengajian Melayu di China akan mendapat peluang kerjaya yang baik dalam syarikat-syarikat China yang melabur di Malaysia, seterusnya membantu urusan komunikasi dalam aktiviti perdagangan dan pelaburan antara dua negara.

Sesi ini turut dihadiri dan disaksikan oleh Konsul General Malaysia ke Kunming Faizal Shani, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia Datuk Dr. Ahmad Parveev bin Ghulam Kadir, Pengarah Education Malaysia Beijing Muhammad Sallehuddin bin Mohd Dilif, Atase Pendidikan Jason Choy Min Sheng,  di samping delegasi dari SISU yang terdiri daripada Pengarah Bahagian Antararabangsa dan Dekan Pusat Pengajian Bahasa dan Budaya Timur.