Rancangan Jepun Lepaskan Air Radioaktif ke Laut Ditolak G7

2023-05-23 15:00:36  CRI
Share with:

Rancangan Jepun tentang pelepasan air kumbahan loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut ditolak dalam Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) yang diadakan baru-baru ini.

Perkataan seperti “mengalu-alukan” rancangan terbabit tidak dimuktamad dalam kenyataan bersama sidang kemuncak itu berikutan suara bantahan yang lantang. Sebaliknya kenyataan bersama hanya “menyokong penyiasatan bebas Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) .”

Menteri Alam Sekitar, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Keselamatan Nuklear dan Perlindungan Pengguna Jerman, Steffi Lemke bahkan menyuarakan bantahan terhadap rancangan Jepun tersebut dalam sidang media.  

Ini menandakan gimik kerajaan Jepun sudah menjadi sia-sia buat masa sekarang.

Semasa sidang kemuncak G7 berlangsung, Jepun khususnya menyajikan pelbagai hidangan, minuman alkohol dan makanan ringan yang dihasilkan di kaunti Fukushima kepada ahli politik dan warga media yang mengambil bahagian dalam sidang tersebut, supaya  pelbagai negara terbabit dapat "lebih memahami rancangan untuk melepaskan air kumbahan loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut ."

Bagaimanapun, bahan radioaktif pernah berulang kali dikesan mencapai tahap yang berlebihan dalam makanan hasilan Fukushima sebelum ini. Oleh itu, bayangkanlah reaksi tetamu ekoran tindakan Jepun itu.

Agensi Berita Kyodo Jepun dalam satu laporan pada 20 Mei mengakui bahawa penggunaan bahan-bahan makanan Fukushima dalam sidang kemuncak G7 "mengakibatkan percanggahan pendapat".

Laporan itu juga memetik seorang pegawai kanan parti pembangkang Korea Selatan sebagai berkata bahawa "penggunaan bahan-bahan makanan yang mempunyai percanggahan pendapat itu memperlihatkan keangkuhan tuan rumah."

Dalam lebih dua tahun kebelakangan ini, orang ramai dari Jepun dan negara-negara jiran seperti China dan Korea Selatan, bahkan negara-negara kepulauan Pasifik menyuarakan bantahan yang kuat terhadap rancangan Jepun tersebut dan menggesa Jepun menangani masalah ini dengan kaedah yang betul.

Semasa sidang kemuncak G7 berlangsung, penduduk di banyak tempat Jepun mengadakan protes, mengkritik "rancangan kerajaan Jepun mahu melepaskan air kumbahan loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut sebagai jenayah bersifat antarabangsa".

Ini kerana terdapat semakin banyak keputusan penyelidikan yang boleh membuktikan bahawa rancangan Jepun tersebut akan membawa bahaya yang tidak terkira kepada ekologi marin dan kesihatan manusia.

Menurut maklumat, air tercemar Fukushima mengandungi sekurang-kurangnya 60 jenis bahan radioaktif yang berbeza dalam kepekatan yang tinggi sehingga mustahil ditapis dan terbiodegradasikan sepenuhnya secara teknikal.

Baru-baru ini, pertubuhan alam sekitar bukan kerajaan-- Greenpeace dan pakar-pakar berkenaan juga menegaskan bahawa Jepun "membuat siri pembohongan" terhadap masyarakat antarabangsa untuk mengaut laba politik dan kewangan di dalam negerinya. Jepun disifatkan  sebagai "sangat tidak bertanggungjawab" tanpa memilih cara lain untuk menangani masalah tersebut.

Menurut kerajaan Jepun, projek pemasangan penyaluran paip akan siap dibina pada akhir bulan Jun dan pihaknya akan melepaskan air kumbahan loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut Pasifik secara rasmi pada akhir bulan Julai, walaupun IAEA masih belum mengeluarkan penilaian muktamad terhadap rancangan Jepun itu.

Ini turut membuktikan sesetengah politikus Jepun hanya mempertimbangkan isu ini dari segi ekonomi, bukan berperspektif jangka panjang, dan tidak mengambilkira kesan buruk tindakan mereka terhadap umat manusia khususnya generasi akan datang.