AS Tiada Diplomasi dalam Hubungan dengan China
Dalam satu sidang akhbar G7 di Hiroshima, Joe Biden menyatakan beliau sedang mempertimbangkan membatalkan sekatan terhadap Menteri Pertahanan China, Li Shangfu bagi memperlancar komunikasi antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, Jabatan Negara Amerika Syarikat(AS) semalam mengumumkan tiada rancangan untuk membatalkan sekatan atas Li.
Ini sekali lagi memperlihatkan sikap yang menjanggalkan AS ketika menguruskan hubungan dengan China, sekali gus menambah unsur ketidaktentuan kepada situasi global.
Li dikenakan sekatan oleh AS kerana mengimport Su-35 dan sistem peluru berpandu pertahanan udara S-400 dari Rusia pada 2018.
Yang musykilnya, India yang sama mengimport S-400 dan pelbagai senjata dari Rusia, namun tiada siapapun yang dikenakan sekatan.
Ini juga jelas memperlihatkan dwistandard AS dan niat sebenarnya iaitu hanya menyasarkan China.
Kini, apabila Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berulang kali cuba berkomunikasi dengan rakan sejawatnya dari China yang memegang jawatan pada Mac lalu, beliau baru sedar “rakan” ini dalam senarai sekatan negaranya, dan berdasarkan undang-undang AS, sesiapa pun yang berhubungan dengan Li juga akan dikenakan tindakan.
Ya, pintu komunikasi akhirnya ditutup oleh pihak AS sendiri.
Begitu juga mengenai isu Micron dikenakan sekatan oleh kerajaan China atas ancaman keselamatan negara. Pihak AS segera mengecam keputusan kerajaan China.
Tapi ketika wartawan dari AP, Matthew Lee mempersoalkan tindakan AS yang telah menyekat banyak syarikat China atas alasan keselamatan negara, jadi mengapa China tidak boleh mengambil tindakan yang sama?
Jawapan jurucakap Jabatan Negara AS adalah sebab China telah menjanjikan keterbukaan perniagaan…
Mengikut pemahaman Satria, adakah ini bermaksud, AS tidak pernah menjanjikan keterbukaan perniagaan? Dan, adakah dengan alasan itu, mereka berhak menyekat syarikat negara lain sewenang-wenangnya?
Tindakan yang sama, AS boleh buat, China tidak boleh buat?
Dengan keadaan ini, Joe Biden baru-baru ini menyatakan bahawa hubungan dengan China dijangka cepat akan mencair…
Hubungan AS-China menjadi begitu “dingin” ekoran perang perdagangan yang dimulakan 2018, sekatan terhadap Huawei dan tahanan terhadap CFO Huawei selama 3 tahun, sekatan terhadap ratusan syarikat China yang berpotensi mencabar kepentingan AS, sekatan terhadap ramai pegawai kerajaan China dengan pelbagai jenis alasan, mengada-adakan “buruh pakasaan” dan melarang kapas dari Xinjiang, mengizinkan tindakan melanggar dasar “satu China”, memfitnah usaha China dalam melawan pandemik dan banyak lagi.
Boleh dikatakan, AS hanya ada pembanterasan, tiada diplomasi lagi ketika menguruskan hubungan dengan China pada beberapa tahun ini.
“Ais” yang sudah cukup tebal ini pula tidak mungkin mencair dengan cakap kosong saja dari pihak AS, pihaknya digesa mengambil tindakan pragmatik, mungkin boleh bermula dari membatalkan pelbagai jenis sekatan tersebut.
Sebaliknya, meskipun menghadapi begitu banyak provokasi, China memperlihatkan sikap yang cukup sabar dan pragmatik untuk memelihara hubungan dengan AS. China selalu menyeru kedua-dua pihak bersikap bertanggungjawab terhadap masa depan kedua-dua negara, sebab ia hubungan bilateral yang paling penting di dunia.
Naib Menteri Luar China Xie Feng telah tiba di AS untuk melaksanakan misi baharunya sebagai Duta Besar China semalam.
Ketika diwawancara oleh media di lapangan terbang, beliau menyatakan bahawa sebagai wakil rakyat China, beliau datang ke AS untuk memelihara kepentingan China dan juga menggalakkan perkembangan hubungan China-AS.