Pembangunan Tibet Tidak Dihambat Gosip Fitnah

2023-05-25 14:53:56  CRI
Share with:

 

“Hidup bahagia adalah hak asasi manusia terbesar bagi rakyat, sedangkan pembangunan adalah kunci untuk membawa kebahagiaan kepada rakyat”. Perkataan demikian terkandung dalam surat tahniah Presiden China Xi Jinping kepada “Forum Pembangunan Tibet China 2023” pada 23 Mei lalu.

23 hb Mei pada 72 tahun yang lalu menyaksikan pembebasan Tibet secara damai, yang melambangkan kegagalan plot kuasa luar untuk memisahkan Tibet daripada China. Hari itu juga merupakan titik permulaan yang serba baharu bagi wilayah Tibet, kerana pembaharuan demokrasi yang dilancarkan selanjutnya menjadikan jutaan hamba tani mendapat kebebasan malah dapat menikmati hak asasi manusia sepenuhnya.

Keluaran Dalam Wilayah Kasar di Tibet bagi tahun 2022 meningkat 346.8 kali ganda berbanding 1951. Jangka hayat perkapita Tibet pula meningkat dari 35.5 tahun pada tempoh awal pembebasan secara damai ke 72.19 tahun buat masa sekarang. Selain itu, kadar buta huruf di kalangan rakyat Tibet yang mencatat 95% sebelum pembebasan secara damai, sudah diturunkan ke hampir sifar pada masa ini, manakala sistem pendidikan dengan disokong belanjawan awam selama 15 tahun telah dibentuk secara menyeluruh.

Pada tempoh sedekad lalu, 80% daripada pendapatan kewangan tahunan Tibet diperuntukkan untuk kegunaan hidup rakyat yang merangkumi pendidikan, perubatan dan penjagaan warga emas. Kejayaan Tibet dalam membasmi kemiskinan tegar dan membentuk masyarakat yang makmur sederhana pada 2019 tidak terlepas dari sokongan kuat kerajaan pusat China.

Tibet berada di landasan perkembangan yang semakin baik pada masa ini. Namun tetap terdapat sesetengah politikus Barat yang tidak berhenti-henti melontarkan gosip dan menimbulkan masalah hak asasi manusia tanpa mengambil kira pencapaian cemerlang China dalam memperbaiki kehidupan rakyat Tibet.

Sarjana India, Ikash Kumar Singh menunjukkan bahawa sesetengah orang di dunia Barat yang sudah biasa duduk selesa dalam pejabat yang dilengkapi pendingin hawa, sememangnya tidak mahu melihat kemaraan Tibet pada zaman tamadun moden. “Penduduk Tibet berhak menonton filem di panggung wayang dan berhak membina landasan kereta api kelajuan tinggi. Pada waktu yang sama, mereka juga berjaya menjaga kebudayaan etnik sendiri dan persekitaran kediaman dengan baik”, kata Ikash Kumar Singh.

Seiring dengan pembinaan modenisasi ala China dipergiatkan, hak asasi manusia Tibet akan terus ditingkatkan dan kehidupan penduduk Tibet pula akan semakin hari semakin baik. Kesemua gosip berkaitan Tibet yang bersifat memfitnah ditakdirkan hanya akan menjadi sia-sia sahaja.