Kota Purba Kashgar Tawar Keaslian, Keunikan, Ketenangan

2023-05-26 10:35:53  CRI
Share with:

oleh AHMAD SYUKRI AZMI


Selepas enam jam penerbangan dari kota Beijing ke Kashgar, penulis akhirnya tiba di Lapangan Terbang Kashgar dan disambut oleh warga tempatan yang tidak lokek dengan senyuman.

 

Sekitar 30 minit selepas itu, penulis dibawa untuk bersiar-siar ke kawasan Kota Purba Kashgar yang terletak di tengah-tengah Kashgar.

 

Ibarat dibawa belayar ke dalam filem Aladdin, Prince of Persia atau Ali Baba Bujang Lapok, itulah yang boleh digambarkan oleh penulis tatkala melihat seni bina bangunan-bangunan di kawasan dengan sejarahnya selama 2,000 tahun.


Penulis (kanan) berpeluang berbual-bual dengan penduduk tempatan Kota Purba Kashgar.

 

SEJARAH DAN KISAH KEJAYAAN

 

Di sebalik seni bina yang unik dan sofistikated yang jelas terpampang pada rumah dan kedai di dalam kawasan Kota Purba Kashgar ini, terdapat sebuah kisah kejayaan yang boleh disifatkan mustahil untuk dilaksanakan.

 

Sejak bertahun lamanya, Kota Purba Kashgar sangat sinonim sebagai kawsasan yang sering dilanda bencana alam termasuk banjir. Malah, hentakan dan gegaran yang terhasil oleh beberapa siri gempa bumi juga pernah merosakan kota purba tersebut secara serius.

 

Menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan, tanggal 24 Ogos 2010, satu projek komprehensif untuk merawat dan mentransformasi Kota Purba Kashgar telah diluluskan oleh lapan kementerian dan biro serta kerajaan tempatan.

 

Bagi pihak pentadbir, satu mantra yang sentiasa diulang-ulang bagi memastikan projek berkenaan dapat mendakap kejayaan adalah melaksanakan penambahbaikan infrastruktur, memastikan ia bersifat menyeluruh, melakukan penempatan semula di kawasan terdekat, meroboh dan membina pada masa yang sama, serta mengutamakan perlindungan bersifat penting.

 

Maju ke hadapan ke Julai 2015, Kota Purba Kashgar yang telah menjalani perubahan ketara disenaraikan sebagai kawasan tarikan pelancong kategori 5A (sistem penarafan tempat pelancongan di China) di Xinjiang.


 

Seperti yang direncanakan, projek tersebut tamat pada 2017 dan menyaksikan rumah-rumah usang telah diubah suai selain dilengkapi dengan alat rintangan gempa bumi serta pencegahan bencana, penduduk miskin berjaya keluar dari kancah kemiskinan, manakala taraf kehidupan penduduk tempatan turut memperlihatkan peningkatan.

 

Ketika ini, para penduduk tempatan sudah dapat merasakan laba daripada projek rejuvinasi yang dilakukan terhadap tempat mereka. Misalnya, tukang besi yang ketika dahulu hanya membuat besi dalam skala kecil, kini sudah memperbesar bisnes dengan mengeksport ke luar Xinjiang.

 

Kedatangan para pelancong yang bertali arus juga secara langsung banyak membantu perniagaan penduduk tempatan termasuk penjualan ukiran tradisional, tenunan, dan pakaian tradisional.

 

Malah, terdapat ramai pemilik rumah yang menjadikan kediaman masing-masing sebagai lubuk pendapatan dengan membuka kawasan rumah mereka  kepada pelancong sambil mengenakan caj berpatutan. Ramai pengunjung tidak melepaskan peluang untuk mengenakan busana tradisional etnik Uygur dan kemudian melakukan sesi foto berlatarbelakangkan rumah antik tersebut.

 

GAYA HIDUP TEMPATAN

 

Bebas tekanan atau stress free adalah satu ungkapan yang boleh penulis sifatkan terhadap penduduk tempatan ketika menerokai sekitar kawasan Kota Purba Kashgar.

 

Minum teh hitam sambil menyanyi diiringi petikan dutar dan tämbür iaitu alat muzik tradisional etnik Uygur yang dimainkan oleh penyanyi lelaki adalah satu pemandangan lazim yang boleh dilihat dihampir setiap pelosok kota purba tersebut.


Berbeza dengan bandar-bandar besar lain di China, kaum hawa di Kota Purba Kashgar kelihatannya sangat gemar berfesyen dengan berbusana tradisional tempatan yang menarik warnanya meskipun dalam cuaca panas. Bagi mereka, memakai busana tersebut adalah satu tanda penghargaan terhadap budaya serta simbol kecantikan kepada kaum wanita.

 

Menurut penduduk dan peniaga tempatan, kunjungan pelancong pada waktu puncak iaitu pada cuti musim sejuk dan panas akan menarik sejumlah besar pelancong dari serata China. Justeru, pendapatan yang diperoleh pada musim tersebut mampu menampung kehidupan mereka untuk hari-hari yang berbaki pada tahun itu, secara tidak langsung membolehkan mereka untuk melalui hari-hari mendatang dengan bebas tekanan.

 

Bagi pelancong yang mengimpikan untuk melawat kota purba versi moden, Kota Purba Kashgar semestinya adalah tempat yang sesuai. Dengan elemen keaslian, keunikan, dan ketenangan, pelancong tentunya akan dapat melupakan kesibukan di kota raya.