Pegawai Kanan China, negara ASEAN Setuju Perkasa Kerjasama
Rundingan Pegawai-Pegawai Kanan China--ASEAN ke-29 diadakan di bandar Shenzhen provinsi Guangdong, China pada Khamis.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama oleh Pembantu Menteri Luar China, Nong Rong dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar, Chan Aye.
Mesyuarat itu turut diserikan dengan kehadiran pegawai kanan dan perwakilan negara-negara ASEAN yang lain, serta perwakilan Sekretariat ASEAN.
Nong berkata tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 cadangan presiden China Xi Jinping tentang membina komuniti berkongsi nasib China-ASEAN yang lebih rapat, dan juga ulang tahun ke-20 termeterainya "Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara" melibatkan China.
“China yang berada di landasan menggalakkan secara komprehensif kebangkitan nusa dan bangsa melalui modenisasi ala China, bersedia bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk membina 'lima halaman' yang damai, sentosa, makmur, indah dan ramah di rantau ini, meneroka peluang baharu bagi kerjasama dalam bidang industri baru muncul, tenaga baharu, monetari dan kewangan, keselamatan konvensional dan bukan konvensional, serta pertukaran sosiobudaya,” kata Nong.
Para hadirin dari negara-negara ASEAN pula menyatakan penghargaan tinggi terhadap pencapaian yang dilakar China dalam pembangunan sosioekonomi dan berharap berkongsi peluang baharu yang dibawa oleh modenisasi ala China. Mereka juga menyatakan kesediaan untuk berganding bahu dengan China untuk memperkasa kerjasama dalam bidang ekonomi digital, pembangunan hijau, kesalinghubungan dan pertanian lestari, selain mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan dan bersama-sama mendorong pembangunan perkongsian strategik komprehensif ASEAN-China.